SHAH ALAM - Jangan amalkan budaya jalan pintas sebagai cara hendak cepat kaya, sebaliknya perlu sentiasa bersyukur dan melalui jalur proses yang betul dalam mencari rezeki.
Demikian antara pesanan Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub disiarkan melalui tayangan video sempena Program Rahsia Insan Cemerlang Hidup (RICH) bertajuk Kenapa Rezeki Tak Murah? semalam.
Program yang diadakan di Bangunan Sinar Harian, Karangkraf di sini adalah anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Rumah Ngaji dengan kerjasama Akademi Sinergi Ikhlas dengan dibarakan Sinar Harian serta Karangkraf.
Menurut Hussamuddin, setiap rezeki yang diterima seharusnya disambut dengan rasa syukur dan paling penting, ia daripada sumber halal serta tidak menghalang rezeki orang lain.
"Kita perlu percaya kepada konsep rezeki, jangan dibandingkan rezeki kita dengan orang lain. Setiap daripada kita perlu bersabar kerana pasti akan sampai juga giliran kita sama ada cepat atau lambat.
"Jangan lalui jalan singkat atau budaya melompat untuk capai kejayaan, itu tidak bagus kerana mungkin menarik rezeki orang lain.
"Jangan terburu-buru sebaliknya kita perlu pergi kepada proses jalur, merangkak, berjalan dan baru berlari,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail turut berkongsi 15 ciri manusia bertakwa antaranya beriman, dirikan solat, menunaikan zakat, menepati janji, sabar, pemaaf, bercakap benar serta menunaikan solat tahajud.