KUANTAN - Sekumpulan pensyarah Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuantan di sini berjaya menghasilkan perangkap tikus canggih yang dilengkapi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) jika berjaya memerangkap haiwan perosak itu.
Pensyarah Fakulti CADD Senibina ILP Kuantan, Ahmad Ismail berkata, kajian untuk menghasilkan alat yang dinamakan 'Litter Mouse Trap' dilaksanakan sejak tahun lalu tetapi ia tidak dilengkapi dengan sistem SMS.
Menurutnya, namun pada tahun ini inovasi itu ditambah baik bagi memudahkan kerja mengesan tikus apabila memasuki perangkap terbabit.
"Kita sudah menaik taraf alat ini dengan menggabungkan sistem amaran melalui SMS dengan menggunakan 'Kit Interface SIM900D GSM Modul Board With Ardulo Mega 2560'.
"Pengubahsuaian litar juga dilakukan dengan memasang sensor infra merah. Ini bertujuan untuk mengesan apabila tikus memasuki perangkap berkenaan," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ahmad berkata, apabila tikus memasuki perangkap itu, sensor infra merah akan menghantar maklumat kepada GSM modul sebelum menghantar SMS ke telefon pengguna.
"Jadi setiap kali tikus terperangkap dalam alat berkenaan satu pesanan akan dihantar menerusi telefon bimbit.
"Ini membolehkan pengguna mendapat tahu jumlah tikus yang masuk ke perangkap berkenaan," katanya.
Menurutnya, alat itu dihasilkan menerusi kajian bersama dengan Ruseman Sani Surin, 43, dan Mohd Hafiz Awang, 47.
"Kos untuk membuat alat ini hanya RM150. Setakat ini, ada beberapa syarikat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sudah berminat untuk membeli alat ini," katanya.
Katanya, inovasi ini dianggap menarik kerana tidak memerlukan perbelanjaan besar malah tikus bersaiz besar yang banyak terdapat di kawasan bandar mudah ditangkap.
"Banyak kebaikan menggunakan alat ini untuk menangkap tikus antaranya tidak memerlukan perbelanjaan besar bagi membeli racun selain menjimatkan tenaga kerja dan dapat mengawal pencemaran.
"Saya berharap kaedah menangkap tikus menggunakan alat ini dapat dikembangkan kepada semua PBT di seluruh negara yang sebelum ini berhadapan ancaman mamalia perosak itu," katanya.