'Tiga jam kutip 751kg sampah'

Iklan
Sebanyak 751kg sampah berjaya dikutip dalam tempoh lebih tiga jam.

KUALA SELANGOR- Sebanyak 751 kilogram (kg) sampah berjaya dikutip menerusi program pembersihan Pantai Jeram anjuran KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) di sini semalam.

Ketua Media dan Perhubungan Awam KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM), Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata, program dengan kerjasama Trash Hero Malaysia dan Reef Check Malaysia itu turut melibatkan 50 sukarelawan dari tiga kolej swasta sekitar Lembah Klang.

Iklan
Iklan
Sampah dikumpul sebelum dibuang ke dalam tong RORO.

Menurutnya, program bermula jam 8.30 pagi bersempena Program World Cleanup Day 2019 diadakan serentak seluruh dunia berjaya mengumpulkan 84 plastik dipenuhi sampah.

"Program World Cleanup ini diadakan bersempena Hari Pembersihan Pantai Sedunia yang jatuh pada tarikh yang sama pada tahun ini.

Iklan

"Program ini memfokuskan aktiviti kesedaran sivik yang bertujuan menangani masalah lambakan sisa pepejal di tempat awam dan rekreasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, Program World Cleanup Day tahun lalu menerima penyertaan dari 157 negara melibatkan seramai 18 juta sukarelawan.

Iklan

Katanya, di Malaysia seramai 103,000 sukarelawan menyertai World Cleanup Day tahun lalu dan tahun ini penyertaan dianggarkan melebihi 250,000 sukarelawan.

"KDEBWM menyediakan tong roll on roll off (RORO) di setiap lokasi terpilih termasuk di Pantai Jeram, Kuala Selangor; Pantai Acheh dan Pantai Tanjung Piai di Pulau Indah, Klang.

"Tong RORO ini bukan sahaja dapat memudahkan kerja kutipan sisa pepejal malah diharapkan dapat menampung kuantiti sisa pepejal terutamanya sampah pukal,” katanya.