BENTONG - Pelaksanaan Kertas Putih Felda yang dibentangkan pada 10 April lalu kini dalam peringkat awal dan berjalan baik.
Timbalan Pengarah Besar Felda (Pembangunan Komuniti) Anuar Malek berkata, buat masa ini ia melibatkan sesi penerangan kepada peneroka di seluruh negara.
Menurutnya, hasil tersebut akan digabungkan dengan kajian kes sebelum pelaksanaan diselaraskan di seluruh negara selepas mendapat pandangan warga peneroka.
"Ibarat kita menabur baja di ladang, taburan baja hari ini esok tidak akan mengeluarkan hasil, sudah tentulah kalau baja sawit ditabur pada hari ini dua atau tiga tahun akan datang barulah kesan hasil nampak.
"Apabila pengumuman dan pelancaran kertas putih tersebut pada 10 April tidak semestinya sekarang ini nampak ianya dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Mesyuarat Agung Tahunan Kami Anak Felda (KAF) Wilayah Mempaga Kali Ke-3 di Kolej Yayasan Felda di sini semalam.
Hadir sama, Pengurus Besar Wilayah Mempaga, Md Zulkifli Md Na'am; Pengerusi KAF Wilayah Mempaga, Datuk Amizar Abu Adam dan Ketua Peneroka Felda Wilayah Mempaga, Sazly Abdul Wahab.
Jelasnya, pada masa ini pihaknya telah melakukan sesi penerangan di lapan buah Wilayah Felda di seluruh negara bagi memberikan penjelasan mengenai kertas putih berkenaan.
"Selepas ini tiga lagi wilayah Felda iaitu Trolak, Perak; Alor Setar, Kedah dan Gua Musang, Kelantan akan dilaksanakan sesi libat urus dalam waktu terdekat," katanya.