AMPANG - Hanya takdir ALLAH dapat menentukan sama ada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri kelapan atau sebaliknya.
Demikian kata Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Anwar yang menjangkakan proses pengambilalihan jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad akan direalisasikan sekitar Mei tahun depan.
"PM kelapan? hanya ALLAH boleh takdirkan mengenai perkara itu.
"Hanya ALLAH boleh tentukan kerana saya boleh merancang sekarang, sesiapa sahaja boleh merancang tapi jika ALLAH kata ya, ya. ALLAH kata tidak, tidak.
"Jadi kita serahkan kepada ALLAH untuk tentukan," katanya kepada media selepas merasmikan program Plogging Trash To Cash Zon 18 di Pandan Indah pagi tadi.
Terdahulu, Anwar dalam laporan agensi berita antarabangsa Bloomberg berkata, terdapat satu perjanjian pengambilalihan jawatan Perdana Menteri dibuat sebelum ini.
Anwar mendakwa, menerusi perjanjian itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) akan meletak jawatan pada waktu bersesuaian.
Bagaimanapun, beliau tidak terlalu memikirkan tarikh khusus berhubung pengambilalihan jawatan tersebut.
Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Ampang itu berkata, beliau tidak akan menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR sebelum satu pertemuan khas diadakan terlebih dahulu bersama Anwar.
Menurutnya, pertemuan tersebut perlu bagi membincangkan perkara sensitif selain memberi pandangan dan merangka hala tuju parti.
"Yang terbaru saya baca kenyataan beliau (Anwar), dia kata sedia bertemu dengan pihak yang menentang, dia katalah.
"Tapi tak adalah, kita tak tentang. Kita hanya nak berbincang untuk perkara-perkara yang agak sensitif. Kita sayang parti dan kita juga sayang kepada negara. Kalau parti kuat, negara pun kuat. Itu yang kita nak buat.
"Kita nak bertemu dan saya ingat, PM kelapan kena berjiwa besarlah. Saya perlukan mesyuarat itu dahulu, lepas kita jelas tentang hala tuju, baru kita sama-sama gerakkan parti," katanya.