Roboh rumah: KPKT sedia bantu penduduk miliki rumah

Iklan
Zuraida beramah mesra dengan sukarelawan Team Selangor pada program Plogging Trash To Cash Zon 18 di Pangsapuri 940 Jalan 3/3 Pandan Indah hari ini.

AMPANG - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedia membantu penduduk yang terlibat dalam perobohan rumah di pinggir Sungai Kedondong, Paya Jaras selepas permohonan mereka untuk memiliki Rumah Selangorku ditolak pemaju.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan negeri melalui exco berkaitan boleh berhubung dengan beliau dan menyerahkan senarai penduduk terlibat bagi tujuan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihak kementerian akan meneliti cara mempermudahkan penduduk mendapatkan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR), Rumah Selangorku dan sebagainya.

"Kita akan lihat program-program pembiayaan melalui bank. Kita sedang berurus sekarang untuk menyediakan kepada rakyat kemudahan untuk membolehkan mereka membuat pinjaman rumah. Insya-ALLAH," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program Plogging Trash To Cash Zon 18 di Pandan Indah pagi tadi.

Rabu lalu, satu operasi perobohan dilakukan kerajaan Selangor ke atas premis dan kediaman yang dibina berhampiran Sungai Kedondong bagi memberi laluan kepada projek tebatan banjir di kawasan berhampiran.

Iklan

Dalam pada itu beliau berkata, pakej pembiayaan skim Rumah Mampu Milik kini di peringkat akhir untuk dimuktamadkan dengan perbincangan bersama Bank Negara dan institusi perbankan.

Menurutnya, skim diperkenalkan pihak kementerian itu bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah B40 membiayai pembelian rumah.