Jerebu: Udara di Singapura tidak sihat menjelang F1 malam ini

Iklan
Pemandangan sekitar Stulang Laut yang berhampiran Singapura turut kelihatan berjerebu. -Foto Bernama

SINGAPURA - Kualiti udara di Singapura sekali lagi mencecah tahap tidak sihat di seluruh negara pulau ini tengah hari ini menjelang perlumbaan akhir Grand Prix Formula 1 Singapura yang akan membuka tirai malam ini.

Dalam maklumat yang dikemaskini pada jam 2 petang, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) berkata, bacaan Indeks Standard Pencemaran (PSI) 24 jam yang dicatatkan adalah sekitar 101 dan 116, dengan bacaan tertinggi direkodkan di bahagian selatan republik ini.

Iklan
Iklan

Dibahagikan kepada lima zon, bacaan PSI mula berada pada lingkungan tidak sihat di seluruh republik ini pada 18 September sebelum beralih kepada sederhana sejak beberapa hari lepas.

Dengan bacaan 101 hingga 200, PSI 24 jam itu adalah dalam lingkungan tidak sihat.

Iklan

Semalam, NEA meramalkan bahawa pada hari ini tiupan angin lazim adalah dari timur atau tenggara dan Singapura mungkin mengalami keadaan jerebu yang semakin buruk disebabkan tiupan angin boleh membawa asap jerebu dari wilayah sekelilingnya ke Singapura.

"Ramalan PSI 24 jam adalah antara lingkungan ‘Sederhana’ dan bacaan rendah tidak sihat bergantung kepada keadaan angin yang mungkin memasuki bahagian pertengahan lingkungan ‘Tidak Sihat’ jika jerebu lebih tebal dari kawasan sekeliling dibawa ke sini,” menurut kenyataan itu.

Iklan

Bagi tempoh beberapa hari akan datang, NEA berkata, cuaca di rantau ini secara keseluruhannya dijangka terus kering.

Menurut Agensi itu, aktiviti titik panas dan keadaan berjerebu dijangka berlaku di bahagian tengah dan selatan Sumatera serta di Kalimantan.

"Angin yang lazim di rantau ini dijangka bertiup dari timur, dan ini mungkin menjadikan keadaan bertambah baik kepada cuaca berjerebu di Singapura,” katanya.

NEA menegaskan ia memantau rapi keadaan dan akan memberi maklumat terkini jika perlu. - Bernama