SUBANG JAYA - Seorang anggota polis cedera dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova yang cuba lolos daripada pemeriksaan di Jalan SS 15/6 di sini Jumaat lalu.
Kejadian kira-kira jam 10.40 malam berlaku semasa sepasukan anggota yang bertugas di Balai Polis Subang Jaya sedang melakukan rondaan cegah jenayah.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, anggota terbabit kemudian terserempak dengan sebuah MPV yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
"Salah seorang anggota cuba menahan kereta tersebut dengan membunyikan hon dan isyarat berhenti, tetapi pemandu terus memecut laju sehingga ke Jalan SS15/6.
"Namun, MPV itu berhenti secara tiba-tiba dan ketika anggota terbabit hendak menghampirinya, pemandu terus mengundurkan keretanya dan merempuh motosikal hingga menyebabkan anggota itu terjatuh dan cedera ringan sebelum pemandu terus melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Risikin berkata, susulan itu, pemandu berusia lingkungan 30-an yang bekerja sebagai jurutera ditahan kira-kira jam 7.10 malam di Taman Tun Dr Ismail Kuala Lumpur pada keesokannya.
Katanya, polis turut menyita kenderaan yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan.
"Bagi tempoh 1 Januari hingga 20 September, sebanyak 16 kertas siasatan telah dibuka membabitkan kesalahan sebegini di sekitar daerah ini.
"Orang ramai dinasihatkan untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk membolehkan mereka menjalankan penguatkuasaan undang-undang. Tindakan tegas boleh diambil terhadap individu yang melakukan kesalahan tersebut,” katanya.