BUKIT GANTANG - Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafis Syed Abu Fasal bertekad untuk kekal sebagai wakil rakyat Bebas kerana tindakan menyertai PH tidak dapat membantunya membela nasib rakyat di kawasannya.
Sebagai seorang wakil rakyat mementingkan kebajikan rakyat, Syed Abu Hussin Hafis mahu memastikan dirinya membuat keputusan terbaik termasuk menyertai mana-mana parti dalam PH jika inisiatif itu menjamin masa hadapan rakyat.
Menurutnya, sehingga kini tiada sebarang bentuk pakej bantuan dijamin kerajaan PH kepada wakil rakyat sepertinya untuk kepentingan rakyat di parlimennya sekiranya beliau memilih menyertai parti itu.
"Saya tidak nampak pakej bagaimana dijanjikan kepada wakil rakyat Bebas yang menyertai Bersatu bagi membolehkan mereka membantu rakyat kawasan masing-masing seperti didakwa. Yang saya nampak, mungkin mereka menyertai parti politik lain untuk menyelamatkan karier politik masing-masing.
"Untuk saya membuat perkara sama adalah tidak mungkin. Ingin saya tegaskan, kalau kemasukan saya dalam mana-mana parti politik dalam PH membantu rakyat, saya akan buat. Tapi saya tidak nampak dan akan terus kekal sebagai wakil rakyat bebas,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan beberapa wakil rakyat bebas seperti Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapha Mohamed; Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin diterima menyertai Bersatu selepas keluar daripada Umno sebelum ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Sertai Bersatu demi kepentingan rakyat]
Kesemua wakil rakyat berkenaan memberi alasan menyertai Bersatu dan kerajaan PH demi mendapatkan peruntukan membantu rakyat di Parlimen masing-masing, bukan untuk jawatan dan kepentingan peribadi.
Syed Abu Hussin berkata, beliau berusaha membuktikan mampu memberikan perkhidmatan kepada rakyat meskipun berstatus wakil rakyat bebas dan berdepan kekangan peruntukan.
"Cuma saya merayu kerajaan PH untuk menunaikan janji penyaluran peruntukan ahli parlimen kepada semua wakil rakyat termasuk pembangkang pada masa hadapan.
"Peruntukan itu perlu disalurkan melalui wakil rakyat kerana setiap rakyat Parlimen Bukit Gantang juga membayar cukai kepada kerajaan dan wakil rakyat berfungsi sebagai pihak pelaksana sebarang aktiviti pembangunan membabitkan mereka dengan kerjasama pihak berkuasa setempat (PBT).
Menurutnya, senario pergolakan politik dalaman parti kerajaan PH dan pembangkang yang tidak kunjung habis turut menyebabkan beliau masih berat hati memilih wadah perjuangan politik baharu.
"Saya juga berharap agensi kerajaan menjalankan fungsi perkhidmatan mereka secara adil dan saksama dan bebas politik, supaya mereka sentiasa membantu setiap wakil rakyat menunaikan amanah membantu rakyat tanpa mengira parti,” katanya.