SABAK BERNAM - Kakitangan yang berkhidmat di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Sungai Panjang masih tidak menerima gaji dan elaun daripada kerajaan negeri sejak Julai lalu.
Perkara itu didedahkan Ketua Pemuda Amanah Kawasan Sungai Besar, Ahmad Zhafri Md Noor menerusi status di Facebook peribadi beliau, hari ini.
Menurutnya, perkara itu memerlukan penyelesaian segera bagi membantu kakitangan terbabit.
"Berpolitik janganlah sampai orang luar boleh sindir kita.
"Sudah menang (PRU14) tapi orang bawah masih terpaksa meminta belas ihsan orang (pemimpin) atas," katanya.
Ahmad Zhafri berkata, kerajaan negeri seharusnya berpolitik secara adil dan matang kepada semua pihak terutama kepada rakyat jelata.
"Sekarang ini heboh dalam kalangan penggerak PH terutama di Selangor tentang isu pemberian peruntukan untuk Program Back To School kepada Adun BN.
"Ironinya, peruntukan sama tidak diberikan kepada lima PKM yang menjadi wakil negeri bagi setiap kawasan tersebut," katanya.
Bagaimanapun katanya, keterbukaan kerajaan PH seharusnya dipuji kerana menunjukkan tahap profesional dan kematangan yang tinggi.
"Bagi pendapat peribadi saya, tidak mengapa sekiranya kerajaan PH Selangor bermurah hati memberikan peruntukan kepada Adun BN kerana pengundi yang memilih mereka juga merupakan rakyat negeri ini.
"Tetapi saat peruntukan lima PKM ini tidak turun, bagaimana pula nasib kakitangan Dun Sungai Panjang yang masih tidak menerima pembayaran gaji sejak berkhidmat Julai lalu," katanya.
Sementara itu, Pengerusi PH Parlimen Sungai Besar, Hasnizam Adham berkata, keputusan Amanah yang membuka PKM lebih awal untuk berkhidmat kepada masyarakat adalah inisiatif parti terbabit.
"Saya tak mahu campur urusan parti mereka kerana mungkin ada rundingan dengan Amanah negeri untuk tujuan membuka PKM lebih awal," katanya.
Bagaimanapun, ujar beliau, kerajaan negeri hanya memutuskan perlantikan penyelaras di lima PKM Dun Selangor yang tewas dalam PRU14 lalu itu sekitar November lalu.
"Sehingga kini, saya difahamkan kerajaan negeri masih belum mengeluarkan sebarang peruntukan kepada lima PKM di negeri ini.
"Mungkin peruntukan di semua PKM terlibat ini akan diserahkan bermula Januari ini," katanya.