Kereta Kancil hijau akhirnya ditahan

Iklan
Pemandu Perodua Kancil hijau ditahan polis di KM15 Jalan KL-Ipoh Jumaat lalu.

GOMBAK - Sebuah kereta Perodua Kancil berwarna hijau yang tular minggu lalu disebabkan keadaannya usang, tetapi masih gah di atas jalan raya ditahan polis di KM15 Jalan KL-Ipoh di sini Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Gombak, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, kenderaan itu ditemui di bahu jalan bersama pemandu pada jam 10 pagi hasil maklumat awam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kereta itu ditahan selepas pemeriksaan mendapati cukai jalan tamat tempoh sejak September tahun lalu.

"Pemandu kenderaan yang berusia 45 tahun dan beralamat dari Raub Pahang itu juga turut ditahan kerana tidak memiliki lesen memandu.

Iklan

"Tindakan penahanan kenderaan tersebut di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Tayar bahagian depan pecah menyebabkan kereta itu tersadai di bahu jalan.

Kereta itu menjadi perhatian netizen selepas kisahnya tular di laman sosial Facebook.

Iklan

Sebelum ini kereta tersebut yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan tidak terurus dilihat sering menggunakan jalan Selayang-Rawang.

Kereta yang dipenuhi barang dan pintunya tidak boleh ditutup itu juga tidak asing buat penduduk Selayang apabila kereta tersebut juga dilihat sering menggunakan jalan Sungai Tua-Ulu Yam.

Untuk rekod, kereta lusuh itu juga pernah ditahan April tahun lalu di Pulau Pinang atas kesalahan sama.

Ketika itu pemandunya ditahan polis selepas dilihat memandu dalam keadaan melawan arus di Jalan Baru Perai.