Macau Scam: Jurujual rugi lebih RM30,000

Iklan

KUANTAN - Seorang jurujual kerugian lebih RM30,000 selepas terpedaya sindiket pinjaman wang tidak wujud melalui laman sosial Facebook kelmarin.

Mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 23 tahun memohon pinjaman RM5,000 untuk modal perniagaan telefon bimbit namun akibat diperdaya sindiket itu, dia membuat beberapa bayaran dengan jumlah keseluruhan RM31,230 semata-mata untuk mendapatkan wang yang dipinjamkan.

Iklan
Iklan

Ketua Jabatan Siasatan jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa bukan sahaja gagal menerima wang yang ingin dipinjamkan sebaliknya wang simpanan sendiri pula lesap.

Menurutnya, wanita itu tampil membuat laporan polis semalam selepas menyedari menjadi mangsa penipuan.

Iklan

"Mangsa melayari laman sosial Facebook pada 16 September lalu ketika berada di rumahnya dan tertarik dengan iklan pinjaman wang.

"Mangsa mengisi butiran peribadinya di ruangan yang disediakan dengan jumlah pinjaman dipohon sebanyak RM5,000 sebelum menerima pesanan melalui WhatsApp daripada seorang wanita memaklumkan pinjamannya sudah diluluskan pada petang hari yang sama," katanya.

Iklan

Mohd Wazir berkata, seperti biasa sindiket meminta mangsa menjelaskan beberapa bayaran sebelum wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun banknya.

"Akur dengan arahan mangsa membuat bayaran secara berperingkat sebanyak 16 kali bermula pada malam hari yang sama melalui tiga akaun bank atas nama individu berbeza.

"Selepas semua bayaran dibuat, mangsa mula curiga apabila wang yang dipinjamkan tidak dimasukkan ke dalam akaun banknya seperti dijanjikan sebaliknya jumlah bayaran yang dibuat jauh lebih tinggi dari jumlah pinjaman," katanya.

Katanya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Pihak polis turut mengesan tiga pemilik akaun bank yang digunakan termasuk dua wanita bagi membantu siasatan," katanya.