KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkongsi enam panduan kepada penumpang yang menaiki penerbangan bagi memastikan semua barangan peribadi yang berharga termasuk wang tunai dan gajet berada dalam keadaan selamat.
Menurut kenyataan di Facebook PDRM, penumpang yang menaiki mana-mana penerbangan dinasihatkan untuk menyimpan barangan berharga pada ruang hadapan kerusi masing-masing.
Penumpang juga perlu sentiasa peka dengan keadaan di sekeliling. Pastikan beg yang dibawa berkunci dan memiliki ciri yang mudah dikenal pasti (warna, bentuk dan tag nama).
Penumpang juga perlu menyimpan wang dan kredit kad yang dibawa dalam beg yang berasingan. Jika penumpang ingin menyimpan beg di tempat simpanan bagasi, letakkan secara bertentangan agar mudah diperhati.
Laporkan segera kepada kru penerbangan jika mensyaki terdapat individu yang mencurigakan di dalam pesawat.
Kenyataan itu juga memaklumkan ramai penumpang penerbangan dilaporkan kehilangan barang peribadi yang diletakkan di tempat simpanan bagasi kabin dipercayai dilakukan oleh sindiket yang beroperasi di China, Hong Kong dan Vietnam.
Ahli sindiket menyasarkan penumpang yang leka atau sedang tidur sebelum mengambil beg yang disimpan di ruang atas tempat duduk.
Terdahulu, seorang penumpang yang dikenali sebagai Faiz Mokhtar bersama rakannya berjaya mencekup seorang lelaki yang dipercayai ahli sindiket mencuri barangan peribadi dalam pesawat.
Dalam status di laman sosialnya, dia memaklumkan kejadian itu berlaku Rabu lalu dalam penerbangan MH0751 di Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat, Ho Chi Minh, Vietnam.
Faiz berkata, perbuatan lelaki yang dipercayai ahli sindiket mencuri barang peribadi milik penumpang itu disedari rakannya apabila suspek mengambil begnya yang disimpan di ruang atas tempat duduk.
Perbuatan lelaki itu dimaklumkan kepada kru penerbangan yang kemudian membuat panggilan bantuan kepada pihak keselamatan lapangan terbang dan polis.
Malaysia Airlines (MAS) yang mengeluarkan kenyataan mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan kru penerbangan pesawat berkenaan turut membuat laporan polis kepada pihak berkuasa Vietnam.
Kru MAS dilatih untuk berdepan situasi sedemikian bagi memastikan keselamatan penumpang serta pesawat selain memastikan penumpang mendapatkan layanan terbaik sepanjang perjalanan.