SHAH ALAM - Institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta disaran menganjurkan program penghayatan dan perbincangan mengenai gagasan Rahmatan lil Alamin dengan menampilkan golongan ulama dan ilmuan Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, ia supaya intipati gagasan berkenaan akan lebih mudah difahami oleh masyarakat dan generasi muda, malah dengan penyertaan aktif peringkat pengajian tinggi, hasrat dan dasar kerajaan itu juga dapat disampaikan dengan lebih baik.
"Ini kerana dasar ini tidak boleh dituai sehari dua sebaliknya memerlukan masa panjang dan pendidikan merupakan satu daripada wasilah di IPT dan sekolah.
"... dan dengan penyertaan golongan ulama dan ilmuan Islam dalam membincangkan mengenai gagasan ini, ia dapat menolak tanggapan bahawa ianya sebuah gagasan yang bersifat politik," katanya dalam sidang media selepas memberikan ucaptama pada Seminar Kebangsaan Memperkasa Penghayatan Nilai Murni anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.
Jelas Mujahid, penyertaan ilmuan dan ulama adalah penting dalam membincangkan mengenai gagasan berkenaan kerana golongan itu lebih bebas daripada mana-mana kepentingan politik selain pembahasan lebih kepada fakta, berilmu dan tidak beremosi.
"Ada pihak di luar sana yang menyerang konsep Rahmatan lil Alamin di luar konteks malah menyifatkannya berunsur politik dan bertolak ansur dengan kemungkaran.
"Bagi saya, kritikan terhadap dasar ini perlu dijawab oleh golongan ilmuwan dan bukan pihak saya kerana sekiranya saya jawab, lain ceritanya," katanya.
Pada tahun lepas, Mujahid mengumumkan pendekatan Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia untuk dijadikan polisi bagi semua agensi dalam usaha membentuk citra baharu Malaysia pada masa hadapan.
Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof Dr Mohd Azraai Kassim dalam ucapannya berkata, nilai murni merupakan asas kepada agama, tamadun dan budaya sesebuah negara yang perlu disepakati bersama agar menjadi tonggak kekuatan, namun ia kini dilihat kian terkikis serta tercabar.
Justeru itu katanya, sebagai institusi pengajian tinggi terbesar negara, UiTM mengambil inisiatif untuk bersatu tenaga dan fikrah dalam meneliti, mencari kesepaduan, keserasian serta sentiasa bermuhasabah mengenai isu nilai murni.
"Diharapkan dengan penganjuran program seperti ini, satu gagasan penghayatan nilai murni berdasarkan al-Quran dan sunnah dapat digemblengkan," katanya. -Bernama