HOC terbuka kepada semua pembeli antarabangsa: Zuraida

Iklan
Zuraida mencuba menunggang basikal semasa melawat ruang pameran pada majlis pelancaran Cities 4.0 dan Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia hari ini. Turut sama Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah (kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek.

KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan hari ini mengulangi pendiriannya bahawa cadangan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) bagi rumah mewah yang tidak terjual, terbuka kepada semua pembeli antarabangsa dan bukan pembeli dari China sahaja.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, kempen tersebut bertujuan menyelesaikan isu lambakan rumah mewah yang tidak terjual.

Iklan
Iklan

"Saya perlu perbetulkan kerana mereka terus mengatakan ia (HOC) untuk pembeli dari China, ia tidak benar. Kami menawarkan kepada semua pembeli antarabangsa yang menyertai (program) Malaysia Rumah Keduaku," katanya pada sidang media selepas melancarkan Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia di sini hari ini.

Zuraida dalam pada itu berkata, semua ketua setiausaha bagi tiga kementerian iaitu kementeriannya, Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan membincangkan pelaksanaan kempen berkenaan.

Iklan

"Kami akan bertemu untuk berbincang kaedah seterusnya sama ada kami boleh menggunakan platform ini untuk membantu menjual rumah-rumah mewah yang tidak terjual. Jadi, perkara ini masih pada peringkat awal perbincangan dan kita akan melihat saranan mereka,” katanya.

Pada 16 Septembar lepas, Zuraida dilaporkan berkata, penganjuran kempen pemilikan rumah itu adalah sebahagian daripada usaha untuk memulihkan ekonomi negara.

Iklan

Menurutnya, dengan penjualan rumah mewah tidak terjual itu, kerajaan dapat membantu meningkatkan ekonomi negara sekali gus membuka lebih peluang kepada pemaju untuk merancakkan lagi projek pembangunan perumahan di negara ini termasuk kategori rumah mampu milik. - Bernama