JAKARTA - Sekurang-kurangnya tiga orang awam dan seorang anggota tentera terbunuh dalam pertempuran antara pelajar dengan pasukan keselamatan susulan insiden keganasan baharu yang tercetus di wilayah Papua, hari ini.
Menurut Ketua Kesihatan Papua, Aloysius Giyai, 10 yang lain turut cedera dalam pergaduhan yang berlaku di Jayapura.
"Punca kematian masih disiasat," katanya.
Dalam kejadian berasingan di wilayah sama hari ini, penunjuk perasaan bertindak membakar pejabat daerah dan bangunan komersial di Wamena, kira-kira 250 kilometer dari Jayapura.
Jurucakap polis, Dedi Prasetyo berkata, pihaknya telah menempatkan anggota keselamatan bagi menghalang tindakan keganasan daripada terus berleluasa.
Agensi berita Papua, Jubi.co.id melaporkan, serangan kebakaran tercetus selepas pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata dan tembakan amaran.
Protes itu melibatkan ratusan pelajar senior yang berang dengan khabar angin mengenai isu perkauman yang didakwa dikeluarkan oleh seorang guru di Wamena.
Pergolakan sejak hujung bulan lalu sehingga awal bulan ini telah menyebabkan sekurang-kurangnya lima orang di wilayah memberontak Indonesia, Papua dan Papua Barat meninggal dunia.
Protes yang berlarutan selama dua minggu itu turut menyaksikan ribuan orang berarak melalui jalan di kedua-dua wilayah berkenaan sambil melaungkan 'Bebaskan Papua'. - Agensi