PETALING JAYA - Gagasan Bertindak Masjid Sultan Abdul Aziz Jalan Templer di sini meragui ketelusan pentadbiran masjid itu yang didakwa gagal menjalankan tugas dengan baik.
Pengerusinya, Datuk Ir Manan Amir berkata, gagasan itu yang terdiri daripada ahli kariah masjid meminta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyiasat lembaga pengurusan masjid itu yang tidak pernah mengadakan mesyuarat tahunan selepas mengambil alih pentadbiran sejak 2015.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kariah tidak mengetahui mengenai laporan kegiatan masjid dan penyata kewangan yang telah diaudit serta disahkan.
"Pihak masjid juga tidak mempamerkan penyata kewangan. Kali terakhir dilakukan pada 2017 menyebabkan kita tidak tahu status kewangan semasa. Sepatutnya perkara itu dilakukan dua kali setahun.
"Sejak mereka ambil alih pengurusan, perbelanjaan masjid meningkat 25 peratus melibatkan kerja selenggara dan penggantian pendingin hawa dengan kos RM205,000 serta pemasangan sistem bunyi sebanyak RM300,000," katanya pada sidang media di Jalan Klang Lama di sini hari ini.
Manan berkata, beliau juga mendesak JAIS mengatur sesi dialog antara pihak masjid dan kariah bagi menyelesaikan isu berbangkit.
"Jika boleh kami meminta supaya pentadbiran masjid ini dikembalikan semula kepada ahli kariah. Dalam tempoh empat tahun ini banyak masalah timbul, jika ditangguh lagi kami bimbang keadaannya akan menjadi lebih buruk.
"Kami akan hantar memorandum bantahan kepada pihak terlibat dan menunggu maklum balas terlebih dahulu sebelum tindakan selanjutnya diambil termasuk melaporkan isu ketirisan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) jika perlu," katanya.
Sementara itu, ahli kariah, Datuk Dr Mohd Ridzuan Abd Halim, 76, berkata, dia terkilan isu pengurusan masjid itu tidak diambil perhatian walaupun lebih 70 surat dihantar kepada JAIS.
"Satu pun surat saya tidak dibalas oleh JAIS apatah lagi mahu dipanggil untuk membincangkan perkara itu. Adakah kerana surat saya tiada nilai disebabkan saya tiada jawatan dalam masjid?
"Ada desas-desus mengatakan masjid ini menjadi tarikan disebabkan dananya melebihi RM1 juta yang mahu dipindah keluar. Tapi perkara itu tiada kesahihan, itu sebabnya pentingnya penyata kewangan masjid dibentangkan," katanya.
Selain itu menurutnya, pengurusan masjid juga didakwa gagal menyelesaikan isu tanah perkuburan tidak mencukupi menyebabkan ahli kariah yang meninggal dunia terpaksa dikebumikan di Kota Damansara yang jaraknya mengambil masa lebih satu jam.
"JAIS pernah berjanji jika pengurusan baru tidak cekap mereka akan ditukarkan dalam tempoh dua bulan. Tapi sehingga kini walaupun produktiviti pengurusan dipertikai, ia terus berlarutan sehingga empat tahun.
"Ahli kariah rasa ditipu. Kami desak pengurusan masjid dikembalikan kepada ahli kariah. Masjid ini diusahakan oleh ahli kariah tetapi kini pengurusannya diambil alih oleh pihak luar," katanya.
Sementara itu, Unit Korporat JAIS dalam satu kenyataan menjelaskan, masjid tersebut telah dinaik taraf oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mulai 1 Julai 2016 menggunakan sistem Jawatankuasa Pengurusan Masjid.
Menurut kenyataan itu, sistem itu diketuai seorang pengurus masjid bagi menggantikan Jawatankuasa Kariah Masjid yang dahulunya diketuai oleh nazir selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"Masjid yang dinaik taraf menggunakan sistem ini tidak perlu mengadakan mesyuarat agung tahunan sebagaimana sistem jawatankuasa lama.
"JAIS turut menafikan wujud salah guna kuasa dan ketirisan dalam pengurusan kewangan selepas pengurusan masjid telah melantik firma juruaudit bertauliah untuk menyediakan penyata kewangan tahunan yang disediakan bagi tahun 2015, 2016 dan 2017. Manakala bagi penyata kewangan bagi tahun 2018 sedang diaudit," katanya.
JAIS turut menjelaskan, isu penggantian kelengkapan pendingin hawa dan pembesar suara yang dibangkitkan oleh gagasan itu telah diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Tadbir Masjid.
"Proses perolehan dibuat secara sebut harga dan dinilai oleh jawatankuasa sebut harga. Aspek ketelusan sangat dititikberatkan oleh pihak pengurusan masjid dalam membuat keputusan tersebut," katanya.