Hina mahkamah: Peguam Negara didesak letak jawatan

Iklan
Tommy Thomas

SHAH ALAM - Pemuda UMNO mendesak Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas melepaskan jawatan susulan kertas alasan penghakiman oleh Hakim Koroner, Rofiah Mohamad hari ini memutuskan secara prima facie bahawa beliau telah menghina mahkamah dan menyalahi prinsip perundangan inkues.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana Thomas secara tidak bertanggungjawab dan subjudis telah membuat satu afidavit dengan menyatakan pendirian awal mengenai punca kematian pegawai bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang masih menjadi persoalan cuba dirungkaikan di dalam inkues sedang berlangsung.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Rofiah menjelaskan, perlakuan Peguam Negara itu merupakan satu bentuk ‘scandalized’ prosiding inkues.

"Inkues berkenaan boleh sahaja dianggap sebagai hanya satu lakonan atau permainan wayang dan satu proses ‘rubber stamping’ sahaja kepada kedudukan yang telah diambil oleh Peguam Negara.

Iklan

"Justeru, Pemuda UMNO mendesak agar Thomas sewajarnya meletakkan jawatan secara terhormat bersandarkan beberapa asas bahawa Peguam Negara adalah satu jawatan yang amat besar dan penting dalam sistem perundangan negara kerana mengikut Perkara 145 (2) Perlembagaan Persekutuan, menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau jemaah menteri atau mana-mana menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, Perkara 145 (3) pula menggariskan bahawa Peguam Negara mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan.

Iklan

"Memandangkan luasnya kuasa dan kewajipan Peguam Negara ini, maka jawatan ini tidak boleh dipegang oleh individu yang dianggap telah melakukan penghinaan terhadap mahkamah.

"Mengambil kira reputasi Peguam Negara yang begitu tinggi martabat di sisi Perlembagaan, maka jawatan ini tidak sewajarnya digalas oleh individu yang tidak menghormati prinsip ‘rule of law’ atau melakukan perbuatan yang menyalahi mana-mana prinsip perundangan negara," katanya.

Jelasnya, selain isu penghinaan mahkamah dalam inkues kematian Muhammad Adib, Thomas juga beberapa kali bertindak secara pilih kasih dengan pengguguran pendakwaan terhadap beberapa kes melibatkan pimpinan Pakatan Harapan (PH) seperti kes banglo Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

"Selaku Peguam Negara, Thomas gagal memberikan nasihat undang-undang secara adil dan tuntas kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja mengenai kesan dan impak Statut Rom dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kepada Perlembagaan Persekutuan dan raja-raja Melayu.

"Pemuda UMNO juga ingin merafak sembah memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong agar dapat mempertimbangkan supaya menamatkan jawatan Thomas sebagai Peguam Negara dalam kadar segera. Ini juga berasaskan Perkara 145 (5) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan Peguam Negara hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong," katanya.