Culik nelayan: Polis tunggu maklumat dari Filipina

Iklan

KOTA KINABALU - Polis Sabah masih menunggu maklumat daripada pihak berkuasa keselamatan Filipina berhubung kejadian tiga nelayan dipercayai warga negara jiran diculik di kawasan perairan Tambisan, Lahad Datu semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, setakat ini belum ada pengesahan diterima daripada mana-mana pihak keselamatan Filipina berhubung kes berkenaan.

Iklan
Iklan

Katanya, mengikut saksi kejadian, kes penculikan tiga nelayan itu berlaku jam 11.50 pagi selepas melihat sebuah bot ditunda oleh salah satu bot pam digunakan suspek ke kawasan perairan Tawi-Tawi, selatan Filipina

"Ada nelayan lain menghubungi Bilik Gerakan Marin di Sandakan bahawa ada ternampak bot itu dan anggota marin kemudian pergi (melihatnya) dan mendapati kru bot sudah tidak ada.

Iklan

"Kita tunggu (maklumat pengesahan pihak keselamatan Filipina),” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, polis sedang mendapatkan saksi-saksi kejadian termasuk pemilik bot untuk siasatan lanjut, dan siasatan masih diteruskan.

Iklan

Sebelum ini, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Datuk Hazani Ghazali yang dihubungi mengesahkan berlaku kejadian penculikan di perairan Tambisan, dekat Lahad Datu.

Ketiga-tiga nelayan itu dipercayai diculik di perairan Geem Reef oleh tujuh lelaki bersenjata dan dibawa ke selatan Filipina. - Bernama