KOTA BHARU – Tujuh beranak di Kampung Baru Pantai Mek Mas di sini terpaksa tinggal dalam bangsal tanpa dinding disebabkan kesempitan hidup.
Keluarga Imran Amin, 59, dan Zainun Yaakub, 39 tinggal di bangsal itu bersama lima anak mereka iaitu Siti Nur Shafikah, 16, Siti Nurhidayah, 13, Mohd Amirul, 8, Siti Nurhasanah,5, dan Siti Nurul Fatihah Solehah,2.
Lebih menyedihkan Siti Nur Shafikah dan Siti Nurhidayah pula terpaksa berhenti daripada persekolahan sejak setahun lalu berikutan keadaan keluarga.
Imran berkata, kedua-dua anaknya itu terpaksa berhenti sekolah berikutan dia tidak cukup wang untuk membayar yuran dan menampung semua kos perbelanjaan persekolahan seperti buku, kelengkapan belajar, uniform serta duit belanja seharian kedua-dua anaknya itu di sekolah.
Katanya, tambah menyulitkan keadaan apabila Siti Nur Shafikah pula diserang penyakit tulang belakang tergelincir menyebabkan pergerakan anak kedua daripada tujuh beradik itu terbatas dan tidak boleh melakukan kerja berat.
"Sebulan sekali kami perlu ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk temu janji dengan doktor dan semua itu juga memerlukan kos untuk pergi dan balik ke hospital. Saya hanya bekerja sebagai pembantu perawatan Islam dengan pendapatan tidak menentu antara RM1,000 hingga RM1,200 sebulan.
"Zainun tidak bekerja dan kami tidak dapat menampung semua perbelanjaan itu menyebabkan dia dan Siti Nurhidayah terpaksa berhenti sekolah sejak setahun lalu walaupun mereka sebenarnya teringin sangat hendak belajar seperti remaja lain,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Pasangan itu turut mempunyai anak perempuan sulung, Siti Nuha Tasurunn Nazirin,19, yang baharu tiga bulan merantau ke Kuala Lumpur dan bekerja sebagai pembantu ibu rakannya membuat kuih bertujuan membantu mengubah nasib mereka sekeluarga.
Anak kedua mereka, Allahyarham Mohamad Hamurrahim, 17, pula meninggal dunia akibat penyakit buat pinggang tahun lalu.
Nasib mereka ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila Imran kini tidak lagi mampu untuk menjelaskan sewa rumah RM350 sebulan yang disewanya di Pasir Puteh sebelum ini menyebabkan mereka sekeluarga berkelana ke kawasan berhampiran Pantai Mek Mas sejak 10 hari lalu.
Katanya, bangsal itu dibina di atas tanah rizab pantai manakala penduduk yang bersimpati dengan keadaan mereka pula datang membantu membina separuh daripada dinding menggunakan zink kerana bimbang akan keselamatan lebih-lebih lagi terhadap anak-anak perempuannya.
"Penduduk di sini sangat berhati mulia memberi kami makanan dan membenarkan kami menggunakan elektrik dan air dari tandas awam di sini. Memasak pula kami buat dapur di bawah payung di luar rumah.
"Cuma kami ketakutan apabila hari hujan dan angin kuat kerana berada berhampiran pantai maka akan basah terkena tempias. Saya sangat berharap untuk memiliki sebuah rumah yang selesa buat anak-anak dan isteri,” katanya.
Bagi yang ingin membantu boleh menyalurkan ke akaun Imran Amin CIMB 7623561103 atau hubunginya di talian 014-6467785.
Sementara itu, Siti Nur Shafikah berkata, dia sebelum ini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Panji tetapi terpaksa berhenti kerana kesusahan yang dihadapi keluarganya.
"Saya memang hendak ke sekolah untuk belajar tetapi keadaan memaksa saya melupakan hasrat itu ditambah dengan rasa kesian kepada ibu bapa saya yang tidak cukup wang.
"Saya sendiri ada cita-cita tetapi ibu bapa sendiri tidak mampu dan perlu tanggung adik-adik yang ramai serta masih kecil,” katanya.