Pemandu lori didenda RM10,000 pindah kayu secara haram

Iklan
Mohd Nazri didenda RM10,000 atau penjara 10 bulan jika gagal membayar denda.

SUNGAI PETANI - Seorang pemandu lori didenda RM10,000 atau 10 bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Sungai Petani atas kesalahan memindahkan 31 tual kayu secara haram bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Nazri Mohd Amin, 22, mengaku bersalah atas kesalahan yang dilakukan pada 7 Ogos lalu di Jalan Raya Kampung Bandar Hilir Sik Kedah.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pemindahan ke atas 13 spesies ludai, 10 spesies medang, dua spesies kelat, dua spesies keranji, tiga spesies mempening dan satu spesies kembang semangkok.

Kesemua kayu tersebut dikenal pasti sepanjang 4.4 meter dan mempunyai diameter antara 21 hingga 45 sentimeter.

Iklan

Mohd Nazri membuat pengakuan bersalah melakukan pemindahan tanpa suatu pas pemindahan sah menggunakan lori jenis Isuzu.

Oleh sebab itu tertuduh telah melakukan kesalahan bawah Subseksyen 68(1) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta313) yang telah diterima pakai oleh Kerajaan Kedah bawah Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985 dan boleh dihukum bawah Subseksyen 68(4)(a) Enakmen yang sama.

Iklan

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Mason Jaro Lenya Baravan di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Priscilla memerintahkan Mohd Nazri didenda RM10,000 atau dikenakan hukuman penjara selama 10 bulan jika gagal sementara 31 tual kayu balak dilucutkan hak pada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, manakala lori yang digunakan tertuduh dilepaskan semula kepada pemilik asal.