PH tunai janji manifesto di Negeri Sembilan

Iklan
Mohamad Rafie(tiga dari kanan) beramah mesra dengan pelajar selepas menyampaikan sumbangan kit peperiksaan.

SEREMBAN - Janji manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk menukar status perumahan milikan tanah pajak kepada hak milik kekal bakal direalisasikan tidak lama lagi.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, kerajaan negeri telah pun mendapat persetujuan daripada kerajaan Persekutuan untuk melaksanakannya.

Iklan
Iklan

"Jika ia dilaksanakan Negeri Sembilan merupakan negeri pertama yang semua taman perumahannya yang berstatus pajakan akan ditukar kepada hak milik kekal.

"Berlaku sedikit kelewatan kerana kita perlu mendapat persetujuan daripada kerajaan Persekutuan dan kini tiada lagi halangan untuk kita tunaikan janji kita dalam manifesto PH lalu," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Penyerahan Sumbangan Kit Peperiksaan Kepada Calon Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 di Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar, di sini hari ini.

Menurutnya, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) telah pun diarah untuk membuat semakan menyeluruh untuk mengenal pasti jumlah rumah di kawasan taman perumahan yang statusnya masih di bawah pajakan untuk ditukarkan kepada hak milik kekal.

Iklan

Beliau berkata, proses pertukaran berkenaan akan dimaklumkan kepada masyarakat dalam waktu terdekat selepas ia dimuktamadkan.

"Dengan status hak milik kekal rumah itu dapat terus kekal menjadi hak pemilik kerana bila status pajakan, kerajaan berhak ambilnya selepas tempoh pajakan tamat.

"Proses pertukaran tanah ini boleh dikatakan hampir selesai dan akan pastikan ia akan dilaksanakan seperti mana yang dijanjikan kepada rakyat," katanya.

Sementara itu itu katanya, di Negeri Sembilan seramai 17,294 calon menduduki PT3 yang bermula pada minggu ini manakala calon SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2019 pula seramai 14,800 dan 1,469 pelajar.