Jerebu: Operasi padam kebakaran di Sri Aman diteruskan

Iklan
Tinjauan dari udara kebakaran hutan seluas 25 hektar yang berlaku di Kampung STC, Sri Aman baru-baru ini. -Foto Bernama

KUCHING - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak masih melakukan operasi pemadaman kebakaran tanah gambut di Sri Aman yang sudah memasuki hari kesembilan.

Penolong Pengarah Operasi Tiong Ling Hii berkata, setakat jam 3 petang tadi, operasi pemadaman di kawasan Kejatau-Lingga masih diteruskan dengan menggunakan bantuan pesawat Bombardier CL-415 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk memadam kebakaran di Sektor B.

Iklan
Iklan

"Dalam operasi itu sejumlah lima sorti telah dilakukan yang menggunakan sejumlah 30,000 liter air manakala pemadaman di darat menggunakan tujuh buah ekskavator, dua buah jentera Prime Mover dan dua buah jentera FRT Scania,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, jumlah kawasan yang masih berbaki dan terbakar kini hanya tinggal kira-kira satu hektar manakala kebakaran di Kampung STC telahpun dipadamkan pada jam 10.25 malam tadi.

Iklan

Selain itu kata Tiong, JBPM turut melakukan operasi pemadaman kebakaran belukar di tiga kawasan yang lain iaitu di Jalan Tisak, Betong; Jalan Beting Maro, Pusa; dan kawasan Gunung Api, Mulu.

"Di Betong, seluas 29 hektar kawasan terjejas manakala kawasan yang masih berasap berbaki empat, keadaan terkawal dan bertompok-tompok, tindakan mengadakan ‘Fire Break’ juga telah dilakukan dengan menggunakan dua buah ekskavator bagi mengawal api dari terus merebak.

Iklan

Di Jalan Beting Maro, Pusa pula, sejumlah 12 hektar kawasan telah terjejas akibat kebakaran yang melibatkan ladang milik persendirian. Di Mulu, kawasan bukit masih terbakar di mana kebakaran mencecah ketinggian mencecah 100 meter dan operasi pemadaman dilakukan menggunakan pesawat M1-171,” katanya.

Setakat hari ini, bermula dari 1 September lepas, JBPM Sarawak telah menerima laporan 449 kes kebakaran terbuka yang menjejaskan kawasan seluas 502.6 hektar.

Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat jam 4 petang tadi di 12 kawasan mencatatkan bacaan tahap Sederhana iaitu Bintulu (59), ILP Miri (64), Kapit (57), Kuching (71), Limbang (56), Miri (63), Mukah (63), Samalaju (59), Samarahan (66), Sarikei (74), Sibu (69) dan Sri Aman (81).

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya. - Bernama