KUCHING - Susulan kes penemuan seekor beruang matahari dalam sebuah kondominium di Kuala Lumpur Jun lalu, kini muncul satu lagi kes melibatkan seekor haiwan yang sama dikurung di sebuah kediaman di kawasan perumahan Demak Laut, di sini.
Kelibat spesis haiwan dilindungi yang dikurung dalam sangkar besi di rumah berkenaan dirakam oleh seorang individu yang kemudiannya memuat naik video itu di Facebook telah dikongsi oleh lebih 665 netizen.
Difahamkan satu laporan dibuat kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) minggu lalu, yang kemudiannya memberitahu bahawa mereka sedia maklum mengenai perkara itu dan penjaga haiwan berkenaan memiliki permit untuk memeliharanya.
Anggota Majlis Pencinta Alam Malaysia (MNS), Musa Musbah yang mengambil inisiatif melawat haiwan itu turut memaklumkan bahawa penjaga beruang berkenaan memang memiliki permit untuk memeliharanya.
"Berdasarkan maklumat yang kita perolehi memang beruang itu disimpan lebih daripada tujuh tahun. Memang permit ini diperbaharui oleh pemiliknya, cuma kita sebagai badan bukan kerajaan yang ambil berat soal haiwan rasa tidak patut haiwan terlindung ini dikurung sedemikian," katanya.
Musa berkata, beruang matahari itu dilihat sering menggigit sangkar besi yang agak kecil itu seolah-olah ingin melepaskan diri dan beliau berharap agar pihak berkuasa dapat menyelamatkan haiwan itu.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim ketika dihubungi berkata, beruang matahari disenaraikan sebagai haiwan yang dilindungi sama ada di Semenanjung dan Labuan yang berada di bawah bidang kuasa jabatan itu, mahupun di Sarawak dan Sabah di bawah kerajaan negeri.
"Kalau di Semenanjung dan Labuan, perlu ada permit khas dari menteri. Selalunya permit hanya akan diberi sekiranya pemohon boleh mengemukakan alasan-alasan kukuh.
"Tetapi mengikut dasar hidupan liar, kita tak benarkan orang awam bela beruang sebab ia hidupan liar dikategorikan ganas dan binatang ini tak banyak di hutan kita,” katanya yang turut menambah beruang itu boleh membesar sehingga seberat 100 kilogram.
Sementara itu, World Wide Fund for Nature Malaysia dalam satu kenyataan menggesa supaya beruang itu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk rehabilitasi dan menegaskan bahawa haiwan liar bukan untuk dibela tetapi seharusnya dibiarkan bebas di habitat asalnya.
"Beruang matahari tidak seharusnya disimpan sebagai haiwan peliharaan. Ia memerlukan ruang yang luas untuk aktiviti hariannya dan ia aktif pada hari siang mahupun malam. Ruang yang terhad boleh memberi tekanan kepadanya,” katanya. - Bernama