KEMENANGAN selesa menjadi misi utama Kedah apabila menentang PKNP FC pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Manjung malam ini.
Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar berkata, skuad Lang Merah bakal tampil dengan kesebelasan terbaik bagi merealisasikan sasaran membawa pulang bekalan selesa sebelum kedua-dua pasukan berentap pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Darul, Alor Setar Ahad ini.
"Kami datang ke Manjung untuk menang... itu sahaja, jadi saya mahu para pemain Kedah mengekalkan momentum kemenangan ke atas Negeri Sembilan di Alor Setar sebelum ini.
"Kami harus fokus untuk memperoleh bekalan gol selesa di laman lawan sebelum pertemuan kedua di gelanggang sendiri bagi memastikan kemaraan ke peringkat separuh akhir tercapai,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Pada masa sama, Baddrol mengingatkan barisan pertahanan Lang Merah untuk mengelakkan melakukan kesilapan mudah sepertimana yang dilakukan mereka ketika melepaskan dua gol pada pertemuan menentang Negeri Sembilan baru-baru ini.
"Saya tidak mahu pemain-pemain Kedah terlalu yakin walaupun PKNP bukan pasukan pilihan pada perlawanan ini kerana ia hanya akan menyulitkan keadaan jika kami memandang rendah keupayaan mereka.
"Kami harus bermain seperti biasa dan mengekalkan strategi serta corak permainan sama ketika menewaskan Negeri Sembilan. Seperti kita ketahui, kualiti jentera serangan dan barisan pertahanan PKNP semakin baik.
"Jadi para pemain Kedah perlu fokus serta lebih bekerja keras untuk memastikan kemenangan berpihak kepada kami,” jelas pemain berusia 31 tahun itu.