JOHOR BAHRU - Polis Johor akan mengerahkan 2,319 pegawai dan anggota bagi membantu memantau aktiviti persekolahan yang bermula esok.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, inisiatif itu dilakukan bagi memastikan aktiviti kemasukan sekolah bagi pelajar dapat berjalan lancar dan terhindar dari sebarang insiden.
Iklan
Iklan
"Polis beruniform melibatkan unit kereta peronda polis (MPV), unit rondaan bermotosikal (URB) dan trafik akan memantau di kawasan luar sekolah.
Manakala kesemua Pegawai Perhubungan Sekolah akan ditempatkan di sekolah masing-masing yang mana melibatkan jumlah keseluruhan 1,311 sekolah,” katanya satu kenyataan, di sini, hari ini.
Mohd Khalil berkata, pihaknya juga mahu kerjasama daripada ibu bapa untuk mematuhi peraturan lalu lintas terutama ketika menghantar anak-anak mereka.
"Keutamaan adalah kepada pelajar yang berjalan kaki, kita tidak mahu ada sebarang insiden, selain persekitaran jalan raya yang selamat.
"Selain itu, sudah tentu kita mahu elakkan kesesakan, jadi diharap ibu bapa dapat membantu dan mematuhi segala peraturan lalu lintas yang ditetapkan,” katanya.