PKNP FC mengharapkan tuah beraksi di laman sendiri serta sokongan padu penyokong The Juggernauts dalam menaikkan semangat mereka bagi menyaingi Kedah pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Manjung malam ini.
Pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim berkata, kelebihan nyata berpihak kepada Lang Merah berdasarkan prestasi semasa yang dipamerkan pasukan dari utara tanah air berkenaan.
Menurut Abu Bakar, Kedah yang juga juara Piala FA musim ini sememangnya diakui mempunyai barisan pemain berkualiti selain kekuatan seimbang pada semua bahagian.
"Kami harus waspada dengan gandingan pemain import mereka yang cukup memberi impak termasuk kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar yang sering mengucar-ngacirkan pertahanan lawan.
"Jadi untuk perlawanan malam esok (malam ini), saya harap para pemain PKNP akan memberikan aksi terbaik seperti dipamerkan ketika menjinakkan PJ City FC pada aksi terakhir peringkat kumpulan baru-baru ini.
"Kami juga mengharapkan tuah Stadium Manjung dan sokongan penyokong dalam mencipta keputusan positif sebagai bekalan aksi suku akhir kedua di Alor Setar nanti,” kata pengendali berusia 48 tahun itu yang yakin PKNP FC mampu mencipta kejutan di Manjung.
Pada masa sama, Abu Bakar gembira dengan prestasi dua pemain mudanya - Mukhairi Ajmal Mahadi dan Muhammad Aidil Azuan yang dilihat memberi impak positif dalam dua aksi terakhir peringkat kumpulan ketika menentang PJ City FC dan UiTM FC.
"Saya rasa cukup bersyukur kerana saya memberi peluang kepada dua pemain bawah 18 tahun, Mukhairi Ajmal dan pemain bernombor 24 yang saya panggil Pirlo atau nama sebenarnya Aidil Azuan.
"Saya nampak dalam dua perlawanan ini, mereka bermain dengan begitu baik. Ini adalah hasil gandingan pemain muda, senior dan juga import,” tambah Abu Bakar lagi.