KUALA TERENGGANU - Seekor ular sawa batik seberat 10 kilogram dengan panjang 3.04 meter dipercayai tersesat di kawasan kediaman di Kampung Pantai Batu Buruk, di sini, pagi semalam berjaya ditangkap sekumpulan pemuda.
Muhammad Hilmi Kamaruddin, 28, berkata, dalam kejadian 7.30 pagi itu, dia kebetulan berada berhampiran kawasan ular itu bersembunyi setelah diberitahu penduduk kampung mengenai kehadiran ular berkenaan.
"Saya beranikan diri jenguk bawah papan nampak ekor ular sawa. Saya pun tarik ekor ular itu dan bawa lari ke kawasan lapang," katanya.
Muhammad Hilmi berkata, dia bernasib baik kerana diberitahu awal mengenai kehadiran ular di situ.
"Mujur saya dapat tahu awal, kalau tak, mungkin dah kena sebab ular tu agak agresif," katanya.
Jelasnya, dalam saat genting itu, mujurlah rakannya, Muhammad Syafiq Bakri Mohd Shafie, 21, yang digelar sebagai 'ayoh ulor' kerana kepakarannya menangkap ular datang membantu.
"Muhammad Syafiq Bakri dah biasa tangkap ular. Dia pegang kepala ular tu dan masukkan ke dalam guni.
"Saya agak gerun sebab ini pengalaman kali pertama pegang ular," katanya.
Muhammad Hilmi memberitahu, ular itu malangnya tidak sempat diserahkan kepada pihak berwajib kerana didapati mati di dalam guni.
"Tak sempat nak serah kepada mana-mana pihak sebab ular tu dah mati dan saya pun dah tanam.
"Mungkin ia mati sebab tak berjaya keluarkan semula apa yang dimakan sebab masa tangkap tu perut besar macam baru lepas telan anak kucing," katanya.