IPOH - Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak menjalankan Ops Gempur Agensi Pekerjaan Swasta (APS) di dua syarikat dan sebuah kilang di sekitar Bandar raya Ipoh, semalam.
Pengarahnya, Ahmad Khusairi Lope Abdul Rahman berkata, operasi berkenaan dilakukan bagi melihat sejauh mana APS mematuhi Akta 246 di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 yang baru diluluskan.
Beliau berkata, akta tersebut sudah dikuatkuasakan sejak 1 Februari 2018 tahun lalu mempunyai tiga kumpulan iaitu lesen A, lesen B dan lesen C.
"Setakat ini tiada kesalahan yang dikesan dilakukan agensi malah kebanyakan syarikat agensi ink baru beroperasi,” katanya kepada pemberita selepas operasi di sekitar Bandar raya Ipoh di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan Ahmad Khusairi berkata, sebanyak 28 agensi swasta di negeri ini yang diberi lesen berkenaan.
Katanya, daripada jumlah itu separuh daripadanya sudah diperiksa melalui operasi tetap yang dilaksanakan sepanjang tahun.
Beliau berkata, semua pihak dan agensi swasta di luar yang ingin menjadi APS ini dinasihatkan untuk memohon ketiga-tiga lesen yang ditetapkan.
"Adalah menjadi matlamat jabatan untuk meluaskan undang-undang dan meningkatkan kesedaran tentang praktis terbaik yang diamalkan oleh majikan melalui operasi yang turut dijalankan di seluruh negara.
"Dengan adanya lesen ini, ia dapat membantu pekerja tempatan untuk mendapatkan pekerjaan di luar negara, kerana kita tidak mahu berlaku kes penipuan dan sebagainya” katanya.
Sementara itu, Ahmad Khusairi berkata, Ops Gempur APS itu disertai 11 anggota dan pegawai daripada JTK Semenanjung Malaysia dengan kerjasama Pejabat Tenaga Kerja Negeri Perak.