KUALA KRAI - Lima buah rumah hangus dijilat api dalam kejadian di Kampung Hamzah, di sini malam tadi.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.42 malam itu turut memusnahkan sebuah Proton Wira dan empat buah motosikal.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Rizwan Ar-rafee Mat Zain berkata, kesemua rumah yang terlibat berpenghuni dan seorang remaja berusia 17 tahun mengalami kecederaan kini dirawat di Hospital Kuala Krai selepas melecur di bahagian kaki ketika mahu menyelamatkan diri.
"Operasi memadamkan api melibatkan 16 anggota dari dua balai iaitu Balai Kuala Krai dan Balai Sungai Durian yang memakan masa hampir empat jam.
"Api yang marak itu berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 3.30 pagi. Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.