SEREMBAN – Tiga rumah urut yang beroperasi di daerah ini dikenakan tindakan kompaun atas kesalahan tidak memiliki lesen perniagaan yang sah dalam operasi yang diadakan malam tadi.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Datuk Zazali Salehhudin berkata, operasi bermula jam 9 malam itu yang disertai pasukan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) itu turut melibatkan pemeriksaan di lima premis, termasuk dua hotel yang beroperasi di sekitar Seremban.
"Hasil pemeriksaan, tiga rumah urut dikenakan tindakan lima kompaun, termasuk tidak memiliki lesen perniagaan, melanggar syarat yang ditetapkan dan dua lagi kompaun berkaitan iklan.
"JHEAINS turut menahan dua orang awam yang berada di premis berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam perkembangan berlainan, Zazali juga memberitahu MPS akan mengeluarkan bil cukai taksiran sebanyak dua kali setahun bagi mengurangkan beban pemilik harta.
Katanya, bil akan dikeluarkan pada Januari bagi setengah tahun pertama dan Julai untuk tempoh tahun kedua.
"Rasional MPS berbuat demikian adalah untuk meringankan beban pemegang harta dari menanggung masalah untuk membayar cukai taksiran yang besar jumlahnya.
"Jadi, kita membahagikan dua nilai jumlah bil tersebut untuk mengecilkan bayaran yang perlu dijelaskan,” katanya.
Beliau berkata, jika pemilik kediaman membuat pengubahsuaian atau penambahan bangunan, cukai taksiran akan meningkat, namun jika sebaliknya, tiada sebarang kenaikan berlaku.
Kata Zazali, kenaikan itu disebabkan ubah suai yang dibuat oleh pemilik harta, namun itu bukanlah perkara baharu kerana ia telah berlaku sejak 1983 dan dilakukan secara berterusan sehingga kini.
Bagaimanapun, Akta Kerajaan tempatan 1976 memperuntukkan bantahan secara bertulis boleh dikemukakan oleh pemilik harta kepada MPS, mengikut terma yang ditetapkan.