APA ada pada hati? Jangankan organ hati yang rosak di dalam tubuh, 'tiada hati' terhadap seseorang atau sesuatu perkara atau 'rosak hati' akibat perkara negatif juga boleh memberikan kesan.
Bercakap soal organ hati yang terletak pada bahagian kanan di atas rongga perut (otot diafragma) dan mempunyai berat sekitar dua kilogram atau tiga hingga lima peratus daripada jumlah berat tubuh kita, ia sememangnya memainkan peranan penting dalam melancarkan metabolisme tubuh manusia.
Selain itu, ia berfungsi untuk proses pencernaan dan penyerapan zat gizi.
Selain membuang racun, hati turut berfungsi menghasilkan energi dengan memecah lemak dan membantu menstabilkan kadar gula.
Apabila fungsi hati manusia rosak, tiada kaedah dapat merawatnya kecuali dengan melakukan pemindahan hati yang boleh mencecah ratusan ribu ringgit.
Seperkara, kadangkala penyakit hati bukanlah bersifat keturunan dan tidak dapat dikesan sewaktu bayi dalam kandungan.
Justeru, dapatkah seseorang itu 'lari' daripada berdepan dengan penyakit itu? Apa simptom-simptomnya? Apakah pula risiko bakal dihadapi penderma hati?
Ikuti kupasan khas mengenainya.
Kos pembedahan hati cecah RM1juta
Salah satu penyakit yang sukar dijangka, survival pesakit bergantung kepada keadaan tubuh seseorang
DALAM tempoh dua minggu selepas dilahirkan, berat badan si kecil yang dilahirkan pramatang 36 minggu itu masih tidak berubah. Tubuhnya berwarna kekuningan.
Kegembiraan menimang cahaya mata pertama tidak lama buat pasangan Mohd Idzzuan Shaarani, 30, dan isterinya, Amirah Izati Hamidi, 28.
Buah hati kesayangan mereka, Idzyraf Alsheeraz Mohd Idzzuan atau Idzyraf disahkan menghidap jaundis. Susulan ‘kuningnya’ tidak bertambah baik, Idzyraf dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). Luluh hati pasangan itu apabila bayi mereka disahkan menghidap penyakit hati kronik atau biliary atresia (BA).
"Idzyraf menjalani prosedur ‘Kasai’ di HKL iaitu pembedahan bagi membuang duktus hempedu dan penyambungan bahagian usus terus ke hati. Pembedahan lancar, namun hasil operasi Kasai itu gagal apabila keadaan hati anak saya semakin teruk," kongsi Mohd Idzzuan yang sanggup berkorban apa sahaja yang terbaik biarpun ‘pelaburannya’ bukan calang-calang.
Aturan ALLAH SWT memang sebaik-baiknya. Tatkala dimaklumkan oleh pihak HKL bahawa Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) ingin membuat pembedahan pemindahan hati di Malaysia, beliau lantas bersetuju.
Tanpa berfikir panjang, isterinya juga dengan rela hati menjadi penderma hati demi anak tunggal tersayang. Idzyraf yang kini berusia 15 bulan, akhirnya menjalani pembedahan hati awal Ogos lalu.
"Setiap bulan Idzyraf perlu ambil ubat. Anak saya juga perlu persekitaran baik untuk elak jangkitan kuman. Banyak ujian dan proses perlu dibuat. Sama ada tubuhnya ‘boleh terima’ atau tidak selepas pembedahan kita tak tahu. Harap Idzyraf kuat. Kita doakanlah yang terbaik,” kata Mohd Idzzuan.
Ya, ada risiko besar yang terpaksa didepani pesakit hati. Mengikut perkongsian Mayo Clinic, kadar survival selepas pemindahan hati bergantung kepada keadaan tubuh seseorang.
Secara umum, kira-kira 70 peratus mereka yang menjalani pemindahan hati mampu hidup selama sekurang-kurangnya lima tahun. Itu bermakna, untuk setiap 100 orang yang menjalani pemindahan hati atas apa jua sebab, kira-kira 70 pesakit akan hidup selama lima tahun dan 30 orang lagi barangkali menemui ajal.
Sementara itu, Hepato-Pancreato-Biliary (HPB), Jabatan Surgeri PPUM dalam perkongsian risalahnya yang bertajuk Pembedahan Hati Hepatectomy or Liver Resection, pembedahan hati adalah sejenis pembedahan besar atau major. Risiko maut semasa dan selepas pembedahan dijangka sekitar lima peratus dan komplikasi yang mungkin berlaku dijangka lebih kurang 30 peratus.
Itu belum lagi mengira kos terlalu tinggi diperlukan apabila boleh mencecah hampir RM1 juta untuk menjalani satu-satu pembedahan hati di luar negara. Pakar khusus pelbagai bidang juga diperlukan untuk prosedur itu.
Hal itu diakui Pakar Bedah HPB & Pemindahan Hati, PPUM, Prof Madya Dr Yoong Boon Koon ketika diwawancara kru Sihat:Aktif.
Bagaimana penyakit hati berlaku?
Menghuraikannya, Dr Boon Koon menerangkan bahawa ia boleh dibahagikan kepada warisan (genetik) atau penyakit yang diperoleh. Penyakit hati yang diperoleh jelas beliau adalah akibat jangkitan seperti Hepatitis A, B dan C.
Boleh jadi juga ia disebabkan gangguan imun seperti hepatitis auto imun, kanser hati, hati berlemak dan sirosis hati (parut) akibat pelbagai sebab.
"Terdapat banyak jenis penyakit hati seperti yang disebutkan. Kesemuanya boleh menyebabkan kegagalan (hati). Ia boleh berlaku dengan cepat (akut) atau secara beransur-ansur (kronik).
"Biliary atresia (BA) juga antara biasa dihadapi oleh pesakit hati," kata Dr Boon Koon yang mengetuai kumpulan profesional PPUM yang melakukan pembedahan pemindahan hati ke atas Idzyraf dan seorang lagi kanak-kanak berusia 10 tahun tujuh bulan dengan kerjasama pakar dari Renji Hospital, Shanghai, China di PPUM baru-baru ini.Tanda-tanda
Dr Boon Koon menjelaskan, BA dilaporkan berlaku satu antara 10,000 hingga 20,000 di seluruh dunia. Ia lebih biasa dihidapi golongan perempuan berbanding lelaki dan bukan janggal dideritai orang di Asia berbanding Eropah.
Seperkara tentang seseorang mendapat penyakit hati akan mengalami keadaan tubuh badan yang kekuningan dan perutnya membesar dan semua itu ada ulasannya. Menurutnya, jaundis atau kekuningan adalah tanda kegagalan hati.
Pada penghidap BA, saluran hempedu yang abnormal mencegah hempedu mengalir ke dalam usus dan terkumpul di dalam hati. Akibatnya, ia membawa kepada ‘limpahan’ bilirubin (sebahagian daripada hempedu) ke dalam darah yang menyebabkan jaundis.
"Hati boleh membesar (hepatomegaly) atau menjadi kecil (sirosis), bergantung kepada penyebab penyakit hati. Apabila hati gagal memproses bilirubin dalam darah, ia boleh menyebabkan penyakit kuning.
"Gejala dan tanda-tanda lain termasuk gatal-gatal kulit, perut bengkak, air kencing berwarna gelap dan najis berwarna pucat. Dalam kes yang teruk, pesakit boleh mengalami kekeliruan dan koma,” katanya.Rawatan
Mengulas bentuk rawatan BA, Dr Boon Koon berkata, pembedahan Kasai membantu menetapkan semula aliran hempedu dengan menyambung aliran keluar hempedu hati ke usus. Apapun, biasanya ia hanya merupakan langkah sementara.
Hampir semua pesakit akhirnya akan mengalami kegagalan hati dan kebanyakannya memerlukan pemindahan hati, kata Dr Boon Koon.
Mengulas sama ada pesakit mampu menjalani kehidupan seperti biasa selepas pembedahan, beliau tidak menafikan kebanyakannya boleh bertahan lama selepas proses pemindahan hati.
"Pesakit yang melalui pemindahan hati memerlukan rawatan lanjut jangka panjang. Pada mulanya mingguan, kemudian bulanan dan perlahan-lahan menjangkau tiga bulan hingga enam bulan.
"Tindakan susulan adalah untuk memantau fungsi hati, memeriksa penolakan organ dan menyesuaikan ubat. Pada masa ini, pesakit dinasihatkan untuk mengambil dadah imunosupresan sepanjang hayat,” katanya.
Bagaimanapun terdapat berita baik apabila terdapat beberapa bukti bahawa sesetengah pesakit mungkin dapat menghentikan ubat pada akhirnya dengan pemantauan pakar.
Berapa peratus peluang untuk kembali sihat selepas menjalani rawatan pemindahan hati?
"Dalam bidang perubatan, kami biasanya mengukur hasil dengan lima tahun bertahan hidup. Dalam pemindahan hati, lebih daripada 85 peratus pesakit dapat bertahan lebih dari lima tahun. Ramai juga boleh bertahan dalam beberapa dekad," ujarnya.
Berbalik kepada penyebab utama penyakit hati, ia boleh disebabkan jangkitan virus hepatitis, hati berlemak, sirosis hati, alkohol dan kegagalan hati akut akibat toksin. Justeru, jika mahu mengelakkan penyakit itu, nasihat Dr Boon Koon agar seseorang melengkapkan imunisasi Hepatitis B yang diwajibkan di Malaysia. Imunisasi virus A juga disyorkan.
"Elakkan makan berlebihan, amal diet sihat dan senaman. Elakkan pengambilan alkohol. Pada orang yang sihat, penyalahgunaan alkohol akan menyebabkan sirosis hati dan kegagalan hati,” katanya.
Tambahnya, suplemen kesihatan bahan dan herba yang tidak diketahui juga boleh kadang-kadang menyebabkan kegagalan hati akut. Seseorang perlu memastikan sumber, ramuan dan potensi dan kesan sampingan sebelum mengambilnya.
Kepada wanita mengandung khususnya untuk mengelakkan penyakit BA itu, katanya, punca BA terkena bayi tidak dapat disahkan yang mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor. Oleh itu, tiada kaedah yang disyorkan untuk mencegah BA semasa kehamilan.Kelayakan penderma
Mengulas kelayakan penderma hati, Canselor Shanghai Jiao Tong University School of Medicine, Prof Dr Guoqiang Chen berkata, untuk menjadi penderma hidup bagi pemindahan hati, seseorang itu perlu berusia 18 tahun ke atas dan sebaik-baiknya di bawah umur 60 tahun.
Katanya, seseorang itu juga harus sihat sepenuhnya tanpa sebarang masalah perubatan. Jika kriteria itu dipenuhi, imbasan keadaan kesihatan akan dilakukan.
"Pemadanan kumpulan darah dan imbasan CT akan dilakukan untuk memastikan hati cukup untuk dibahagikan kepada penerima.
"Penilaian psikologi juga akan dilakukan. Semua penyiasatan ini adalah untuk memastikan keselamatan pembedahan," katanya.
Bagi penderma yang sudah meninggal dunia, persetujuan perlu diberikan oleh pesakit sebelum menghembuskan nafas atau diberikan oleh saudara terdekatnya selepas kematian otaknya.
Pesakit dengan penyakit tidak berjangkit seperti masalah jantung, hipertensi, diabetes masih boleh menderma. Hati biasanya disumbangkan mereka yang ada pertalian darah.
Bagi mereka yang bukan saudara ingin mendermakan hati, mesti melalui jawatankuasa etika yang bebas untuk memastikan bahawa derma altruistik dan tiada unsur perdagangan organ. Orang dewasa yang sihat hanya memerlukan 30 peratus daripada hatinya untuk terus hidup.
Oleh itu, seseorang boleh mendermakan sehingga 70 peratus dari hati. Jumlah hati yang diambil dari penderma bergantung kepada pengiraan. Biasanya kira-kira 30 hingga 70 peratus daripada hati akan dikeluarkan untuk pemindahan.
Hanya jika hati sudah cukup untuk penderma dan penerima maka pembedahan akan dijalankan. Jika tidak, penderma dianggap sebagai penderma yang tidak sesuai. Kedua-dua penderma dan hati penerima akan menjadi sedikit lebih besar selepas pembedahan, ia biasanya akan meningkatkan saiz sebanyak 10 hingga 50 peratus.
"Ya. Penderma biasanya menjalani kehidupan normal selepas pembedahan. Bagaimanapun, mereka dinasihatkan untuk menjaga hati yang tinggal dengan menjalani gaya hidup yang sihat," katanya.PPUM hidupkan perkhidmatan pemindahan hati, beri harapan baharu
PEMBEDAHAN pemindahan hati di dalam negara mampu mengurangkan kos rawatan dan pembedahan sehingga 50 peratus berbanding sekiranya ia dilakukan di luar negara.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaya, Prof Dr Kamila Ghazali berkata, dengan adanya kemudahan pembedahan pemindahan hati di PPUM, ia akan memberikan impak kepada masyarakat Malaysia.
"Kemudahan ini dapat memberikan harapan baharu kepada pesakit terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang menghidapi penyakit hati kronik di Malaysia yang sedang menunggu giliran pembedahan mereka.
"Pembedahan dan rawatan dilakukan dalam negara juga dapat meningkatkan prestasi PPUM sebagai pusat latihan dan pengajaran dalam bidang perubatan pemindahan organ," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media kejayaan PPUM melakar sejarah perubatan tempatan dalam bidang pembedahan pemindahan hati kanak-kanak di Universiti Malaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Terdahulu sekumpulan profesional perubatan dari PPUM dengan kerjasama pakar dari Renji Hospital, China telah melakar semula sejarah perubatan tempatan dalam bidang pembedahan pemindahan hati kanak-kanak.
Pembedahan membabitkan penderma yang masih bernyawa (living liver transplant) itu berjaya dilakukan melibatkan dua pesakit kanak-kanak pada 6 dan 7 Ogos lalu. PPUM buat pertama kali menjalankan pembedahan hati pesakit dewasa pada Januari 2017.
Kerjasama pemindahan itu dimeterai melalui perjanjian persefahaman yang ditandatangani oleh PPUM dengan Renji Hospital pada 17 Ogos 2019 yang lalu.
Menurut Dr Kamila, perjanjian persefahaman dengan PPUM itu telah membawa sekumpulan 16 orang profesional perubatan PPUM.
Mereka terdiri daripada pakar bedah pediatrik, pakar bius, pakar radiologi, pakar intervensi pediatrik, pakar patologi serta jururawat.
"Kakitangan perubatan PPUM yang terlibat menjalani latihan dan kursus secara practical hands on dalam pembedahan pemindahan hati kanak-kanak di Renji Hospital, Shanghai pada Jun lalu.
"Berbekalkan pengalaman itu, PPUM bertekad menghidupkan dan menyegarkan kembali kepakaran serta perkhidmatan transplan atau pembedahan pemindahan hati antara penderma yang masih hidup serta melibatkan kanak-kanak," katanya.
Beliau tidak menafikan, pembedahan pemindahan organ merupakan antara yang paling kompleks.