Usahasama 1MDB-PetroSaudi tercetus masa Najib bercuti di South France

Iklan

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa projek usahasama di antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan PetroSaudi International Ltd (PSI) dicetus dan dibincangkan semasa Datuk Seri Najib Tun Razak bercuti di South France di atas sebuah kapal layar bersama Putera Turki Abdullah pada Ogos 2009.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata, perbincangan antara dua pemimpin itu diketahuinya melalui ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho yang dikenali sebagai Jho Low.

Iklan
Iklan

"Jho Low memaklumkan kepada saya sebelum perbincangan itu, Najib ada bertemu dengan Raja Abdullah dan kedua-dua pemimpin itu bersetuju untuk membentuk usahasama yang bernilai AS$D2.5 bilion untuk pelaburan di kedua-dua negara.

"Jho Low juga menyatakan yang beliau sendiri ada semasa perbincangan bersama Putera Turki itu dan Najib mengarahkannya (Jho Low) untuk mengurus dan memberi koordinasi di antara 1MDB dan PSI," katanya.

Iklan

Saksi penting itu berkata, beliau tidak membuat sebarang pemeriksaan semula dengan Najib mengenai perkara itu kerana berdasarkan pengalamannya dengan Jho Low dari awal penubuhan Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) dan atas mandat Najib kepada Jho Low sebelum ini, beliau menganggap inisiatif usahasama PSI ini adalah arahan daripada Najib sendiri dan mesti dilaksanakan.

"Malahan semua kandungan surat-surat yang diberi kepada saya oleh Jho Low dan kandungan email dan dokumen dari PSI adalah konsisten dan menambah keyakinan saya bahawa ini adalah benar-benar persetujuan di antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

Iklan

"Atas sebab-sebab itulah saya tidak ada membuat apa-apa pemeriksaan semula dengan Najib mengenai perkara ini," kata saksi pendakwaan kesembilan itu semasa membacakan penyataan saksinya ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ke-13 perbicaraan kes Najib melibatkan dana 1MDB.

Shahrol Azral bagaimanapun berkata, Casey Tang yang juga pegawai kanan 1MDB pada ketika itu diberi tanggungjawab untuk menguruskan usahasama dengan PSI.

"Saya memberitahu Jho Low bahawa saya tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam hal korporat untuk melaksana usahasama ini. Jho Low terus mencadangkan untuk memberi tanggungjawab untuk menguruskan JV dengan PSI ini kepada Casey.

"Casey adalah pegawai 1MDB yang paling kanan pada masa itu. Oleh itu, Jho Low lebih banyak berurusan secara terus dengan Casey untuk menyempurnakan perjanjian dengan PSI. Saya telah mematuhi cadangan Jho Low untuk menyerahkan tanggungjawab menguruskan JV ini kepada Casey Tang.

"Hal ini kerana, dalam TIA ketika itu tidak ada orang lain selain Casey yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam bidang kewangan termasuk pengumpulan dana serta struktur korporat.

"Selain itu, saya turut mempercayai Casey untuk menguruskan perkara ini kerana Casey terlibat dengan TIA sebelum saya menyertainya lagi walaupun secara rasminya pelantikan beliau berlaku seminggu selepas saya dilantik sebagai Pengarah dan CEO TIA," katanya dan menambah beliau mempunyai latar belakang kejuruteraan.

Selain itu, katanya, berdasarkan pemerhatiannya mendapati hubungan di antara Jho Low dengan Casey amat rapat dan mendapati Casey mempunyai pengetahuan yang sangat mendalam mengenai perkara proses pelaburan.

Menceritakan lebih lanjut, saksi berkata, pada peringkat permulaan, Jho Low menghantar 'introductory email' kepadanya dan CEO PSI, Tarek Obaid dan beliau membalas email itu dan meminta lebih banyak maklumat mengenai PSI dan pelaburan yang dicadangkan.

"Ada balasan dari Patrick Mahony dari PSI. Bagaimanapun, untuk urusan seterusnya, saya mengarahkan Casey untuk terus berurusan dengan pihak PSI dan Jho Low untuk rundingan perjanjian dan proses dalaman 1MDB seperti BOD paper dan sebagainya," katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah sedang berlangsung. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 'Ambil alih TIA untuk sembunyi penyelewengan RM5 bilion Najib'

'Najib minta saya ikut arahan Jho Low bawa pulang dana 1MDB'