JUARA Mentor musim ketujuh (Mentor 7), Zaaim Abdullah mendedahkan kehadiran ibunya pada malam konsert akhir yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, semalam, sedikit sebanyak mengembalikan semangatnya yang luntur sejak dua minggu lalu.
Mengakui terkejut melihat ibunya berada di kerusi penonton bahagian hadapan, Zaaim, 28, berkata, ia sekali gus membuatkan dia mahu menebus segala kekurangan pada dua konsert sebelumnya dan melakukan terbaik pada malam final.
"Tidak dinafikan semangat saya agak menurun sejak dua minggu lalu. Malah saya sendiri rasa tak yakin menyanyikan lagu Bukan Rayuan Gombal kerana ikutkan saya nak nyanyikan lagu berentak ballet dari Asfan Syah atau lagu Azura.
"Tapi kak Nana yakinkan saya untuk bawa lagu itu dan saya hanya fikir nak buat sehabis baik sahaja. Kehadiran ibu saya juga banyak membantu menaikkan semangat juga," katanya.
Masih tidak memikirkan apa yang akan dibuat dengan wang kemenangan RM80, 000 itu, Zaaim berkata, dia akan memberikan sedikit kepada ibunya seperti yang diniatkan.
Bukan itu sahaja, dia juga berharap nasibnya tidak seperti juara Mentor yang lain dan mahu terus aktif di dalam dunia nyanyian selepas ini.
"Insya ALLAH perjuangan saya tidak akan terhenti setakat ini sahaja dan saya akan terus aktif dan berhasrat menyanyikan lagu rock, tapi dalam masa sama saya juga bersedia menyanyikan lagu lain.
"Walaupun ada antara juara Mentor sebelum ini tidak berapa menjadi, saya harap rezeki saya di dalam bidang ini lebih baik," jelasnya.
Sementara itu, Mentor Zaaim, Siti Nordiana berasa bangga dengan perubahan Zaaim, di mana pada awal penyertaan jejaka itu seorang yang malu dan kayu dalam membuat persembahan.
"Ketika awal dahulu, nak bergerak pun malu. Tapi lama-lama dia improve dan boleh nyanyi. Sejujurnya kualiti suara dia bagi saya rezeki yang ALLAH SWT beri pada dia.
"Ramai penyanyi yang mengimpikan mempunyai suara yang forward sepertinya. Dia boleh nyanyikan pelbagai jenis lagu.
"Walaupun saya mentor, saya sebenarnya belajar juga dari Zaaim dan saya berharap kami akan dapat terus bekerjasama selepas ini," katanya yang tidak melihat kejayaannya pada Mentor 7 ini sebagai kelebihan buatnya.
Pada malam final Mentor 7 itu, Zaaim menewaskan tiga orang pesaingnnya yang tidak kurang hebat iaitu Pasya yang juga protoge Aizat Amdan, Azmirul (Hafiz Suip) dan Ranisha (Datuk Syafinaz Selamat).
Kemenangan itu melayakkan Zaaim menerima hadiah wang tunai berjumlah RM80,000 dan sebuah kereta tajaan Aerocar bernilai RM70,000 dan trofi.