KUALA LUMPUR - Penuntut Malaysia di Mesir diminta agar sentiasa berwaspada walaupun setakat ini mereka selamat dan tidak terkesan oleh demonstrasi jalanan yang berlaku di Kaherah dan beberapa bandar lain di Mesir pada Jumaat dan Sabtu lalu.
Pengerusi Persatuan Mahasiswa Ulum Islamiah (PMUI), Universiti Al-Azhar, Mesir, Arifuddin Nor Hisham, 21 berkata, penuntut Malaysia di sana juga dinasihatkan mematuhi arahan dan peraturan pihak berkuasa Mesir selain mengikut panduan keselamatan daripada Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan pihak persatuan.
"Pelajar disarankan membawa dokumen penting seperti pasport dan kad pelajar sepanjang masa, selain tidak menyertai dan menghampiri sebarang perhimpunan atau berada di kawasan demonstrasi yang dianjurkan mana-mana pihak di Mesir.
"Selain itu, (diingatkan) jangan membawa apa-apa bahan yang menyentuh isu sensitif di Mesir dan tidak berkomunikasi atau beri komen berkaitan politik Mesir khususnya di media sosial," katanya ketika dihubungi Bernama menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.
Katanya, pelajar dan warga Malaysia di sana turut sentiasa berhubung rapat dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, sejak tunjuk perasaan itu tercetus.
Semalam, Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah meminta warganegara Malaysia di negara Arab itu supaya terus berwaspada dan mengambil perhatian terhadap situasi keselamatan semasa negara itu susulan tunjuk perasaan jalanan Jumaat lalu.
Menurut laporan media antarabangsa, ribuan rakyat Mesir menyertai demonstrasi itu bagi mendesak peletakan jawatan Presiden Abdel Fattah el-Sisi.
Berkongsi keadaan terkini di sana, Arifuddin berkata, situasi semasa masih selamat dan masih terkawal, malah sesi kuliah di universiti itu yang bermula pada 21 September lalu berlangsung seperti biasa.
Katanya, lokasi tunjuk perasaan itu di kawasan Tahrir terletak agak jauh dari kawasan penempatan penuntut Malaysia yang majoritinya tinggal di Bandar Nasr.
"Awalnya kami terkejut kerana tunjuk perasaan berlaku secara tiba-tiba. Namun, alhamdulillah keadaan terkawal dan kami selamat dari terkena sebarang perkara yang tidak diingini ketika kejadian itu," katanya. - Bernama