Lima keluarga hilang tempat berteduh

Iklan
Keadaan rumah mangsa yang hangus dalam kebakaran malam tadi.

KUALA KRAI - [VIDEO] 'Saya nampak api menerusi wayar sambungan elektrik ke rumah jiran dan kemudian terbakar," kata salah seorang mangsa yang terlibat dalam insiden kebakaran lima buah rumah di Kampung Hamzah, di sini malam tadi.

Menceritakan detik mencemaskan itu, Nik Nor Silawati Nik Pa, 41, berkata, kejadian pada jam 11.30 malam berlaku ketika dia berada di kedai berhampiran rumahnya.

Iklan
Iklan

"Saya lihat ada cahaya di kawasan rumah. Ketika itu saya sedang berniaga di kedai. Di rumah hanya ada tiga anak.

"Apabila saya perhati, ia bukan cahaya tetapi api sedang membakar dinding rumah saya. Saya bergegas balik dan lihat ia sudah merebak ke rumah jiran," katanya.

Iklan

Katanya, anak perempuannya, Wan Nor Aisyah Arif Afendi, 17, sedang tidur bersama dua adiknya, melecur di bahagian kaki dan kini dirawat di Hospital Kuala Krai (HKK).

Seorang lagi mangsa, Nor Atilah Baharudin, 21, berkata, ekoran kebakaran yang memusnahkan rumahnya, dia sekeluarga terpaksa menumpang di rumah keluarga yang lain.

Iklan

Berkongsi detik tersebut katanya, dia baharu sahaja melelapkan mata sebelum menyedari api mula membakar di bahagian dapur rumahnya sambil memberitahu ibunya tiada di rumah kerana mempunyai urusan di Johor Bharu.

Jelasnya, kebakaran berlaku dengan pantas dan dia hanya sempat membawa adiknya keluar tanpa berjaya membawa apa-apa dokumen penting keluar dari rumah.

"Saya cuba meminta bantuan orang ramai, namun api cepat marak dan memusnahkan tiga lagi rumah lain," katanya.

Bagi mangsa ketiga, Faridah Harun, 54, api mula masuk ke rumahnya menerusi bilik tidur dan merebak dengan cepat.

Faridah hanya sempat menyelamatkan diri dalam kejadian malam tadi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Rizwan Ar-Rafee Mat Zain berkata, operasi memadamkan api memakan masa selama hampir empat jam.

Katanya, operasi memadamkan api melibatkan 16 anggota dari dua balai iaitu Balai Kuala Krai dan Balai Sungai Durian.

"Api yang marak itu berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 3.30 pagi. Punca kejadian masih dalam siasatan.

"Selain lima rumah, sebuah kereta jenis Proton Wira dan empat buah motosikal turut musnah dimamah api.

"Insiden ini melibatkan 31 mangsa dari lima keluarga, mereka hilang tempat berteduh dan tinggal sehelai sepinggang," katanya.