Terengganu perkenal kediaman patuh syariah

Iklan
Ahmad Samsuri (dua dari kiri) melihat model rumah yang akan dibina selepas melancarkan Dasar Perumahan Baharu Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu memperkenalkan rumah bersifat patuh syariah dengan mengambil kira aspek asas penyediaan pembinaan kediaman menurut pandangan Islam dalam menyediakan perumahan kepada rakyat.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kediaman patuh syariah itu dilaksanakan melalui Dasar Perumahan Baharu Terengganu yang mula berkuat kuasa mulai 1 September lalu.

Iklan
Iklan

"Rumah patuh syariah ini pertama asasnya adalah mempunyai tiga bilik. Kedua, ruang tamu dan ruang makan terasing dengan ruang keluarga supaya tidak mengganggu aktiviti keluarga bila tetamu datang.

"Bilik air pun kita buat ada partition (pengadang) antara tempat mandi dan tempat buang air, ini penambahbaikan kita buat," katanya ketika melancarkan Dasar Perumahan Baharu Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Iklan

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zahari Md Azhar dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zainal Abidin Hussin.

Pada majlis itu, turut diadakan adalah Majlis Menandatangani Perjanjian Projek Penswastaan Bercampur Kampung Bukit Cina, Pasir Akar, Besut yang melibatkan pembinaan 385 unit rumah berkonsep patuh syariah di sana.

Iklan

Dasar Perumahan Baharu Negeri Terengganu terbahagi kepada dua sub dasar iaitu Dasar Pembangunan Perumahan Bercampur Melalui Penswastaan dan Dasar Pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) Jenis A Melalui Penswastaan.

Kewujudan pembangunan perumahan bercampur memberikan variasi harga jualan kepada pembeli bermula dari RM68,000 hingga RM185,000 seunit dan harga yang ditawarkan telah ditetapkan sebagaimana Dasar Perumahan Mampu Milik Negara yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menurut Ahmad Samsuri, dasar perumahan baharu adalah proses penambahbaikan setelah dasar lama yang diperkenalkan sejak 2017 tidak membolehkan pihak swasta terlibat secara aktif dalam menyediakan perumahan kepada rakyat kerana kurang memberi keuntungan.

Beliau berkata, dasar baharu itu dilihat lebih mesra pelabur sekali gus dapat membantu merealisasikan manifesto kerajaan negeri yang mahu menyediakan 20,000 unit rumah mampu milik kepada rakyat dalam tempoh empat tahun lagi.

"Kalau ikutkan dalam sistem senarai yang setia menunggu, ada 151,000 orang yang masih perlukan rumah, jadi kita terpaksa wujudkan sistem penswastaan ini dalam mewujudkan perumahan untuk rakyat Terengganu.

"Rakyat yang berminat perlu mendaftar dengan bahagian perumahan melalui e-Perumahan Terengganu mengikut syarat-syarat yang ditetapkan," katanya.