Pemimpin jangan kongsi gambar bercuti di media sosial

Iklan
Gambar keluarga dimuat naik di laman Twitter anak sulung Mohamed Azmin di sebuah resort percutian di Marrakesh, Maghribi, yang mencetuskan pelbagai spekulasi.

KUALA LUMPUR - Majlis Belia Negara (MBM) menasihatkan pemimpin negara dan politik serta ahli keluarga mereka tidak berkongsi gambar bercuti di media sosial secara terbuka.

Presidennya, Jufitri Joha berkata, ia bagi menghormati perasaan dan sensitiviti rakyat yang kebanyakannya berhempas pulas berhadapan suasana ekonomi yang mencabar ketika ini.

Iklan
Iklan

"MBM tidak menafikan hak dan kemampuan sesetengah pemimpin dan keluarga mereka untuk bercuti di luar negara. Namun MBM menasihatkan agar gambar-gambar percutian hanya disiarkan di akaun media sosial peribadi secara tertutup.

"Terlebih baik jika ia tidak dikongsikan langsung di media-media sosial bagi mengelakkan ia tersebar dan mengundang pelbagai persepsi masyarakat. Cukuplah hanya sekadar untuk simpanan peribadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Iklan

Menurut Jufitri, pimpinan negara dan politik serta keluarga perlu lebih sensitif terhadap perasaan rakyat kebanyakan.

Sebelum ini, salah seorang anak Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkongsi gambar percutian keluarganya di Maghribi.

Iklan

Namun, lebih menarik perhatian ialah Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein turut kelihatan dalam gambar itu.

Kedua-dua tokoh itu saling berjabat tangan di samping ahli keluarga mereka dalam gambar yang disertakan keterangan ‘Keluarga kami bersatu semula’.