KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa untuk merunding semula tawaran harga tanah melibatkan pemilik tanah dalam pelan pembangunan di Kampung Baru.
Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Farhan Haziq Mohamed berkata, harga dan cadangan pembangunan di Kampung Baru ini telah menjadi suatu perdebatan hangat sama ada harga yang ditawarkan tersebut munasabah ataupun tidak kepada pemilik tanah.
"Mengambil kira kekangan yang ada di bawah Malay Agricultural Settlement (MAS), tanah Kampung Baru sebenarnya mempunyai nilai yang tinggi.
"Harga yang dicadangkan hendaklah mengambil kira jenis pembangunan, nisbah plot dan kepadatan penduduk yang dibenarkan di kawasan tersebut oleh DBKL dan juga pelan pembangunan yang akan dibuat pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sekiranya kerajaan ingin membangunkan pembangunan guna campur (mixed development) ke atas tanah tersebut, nilainya perlu diperhalusi kembali.
"Malah kerajaan tidak boleh mengambil satu kadar untuk semua lot tanah di Kampung Baru kerana bukan semua akan dibangunkan sebagai pembangunan komersil.
"Jadi sekiranya tanah penduduk diambil untuk pembinaan bangunan komersil bertingkat, harganya perlu lebih tinggi daripada harga yang ditawarkan kini," katanya.
Katanya, selain itu kerajaan juga harus menjelaskan sama ada syarat dan sekatan kepentingan pada tanah tersebut akan kekal apabila kerajaan mengambilnya kelak atau kerajaan akan memansuhkan syarat ini untuk membenarkan pemilikan oleh orang bukan Melayu.
"Hal ini juga bakal meningkatkan harga tanah tersebut dan kerajaan harus memberi maklumat dengan terperinci kepada mereka apakah pembangunan yang akan kerajaan laksanakan ke atas tanah yang diambil ini.
"Harga one size fits all tidak boleh dilaksanakan kerana ia memberi ketidakadilan kepada penduduk, apabila kerajaan telah membelinya kelak, kerajaan mempunyai hak untuk mengecualikan syarat-syarat tersebut dan ia bakal meningkatkan nilai tanah tersebut," katanya.
Menurutnya, kerajaan perlu kembali ke meja rundingan bersama pemilik dengan pelan yang lebih terperinci untuk menentukan harga nilaian tanah tersebut mengambil kira pembangunan masa depan tanah yang diambil itu.
"Kerajaan mestilah memastikan pemilik tanah diberi harga terbaik apabila diambil kelak.
"Keduanya, secara dasarnya pembangunan Kampung Baru ini hendaklah mengekalkan ciri-ciri tradisi Kg Melayu yang perlu dipelihara, walaupun Kampung Baru berada di tengah-tengah bandar, pembangunan Kampung Baru tidak semestinya perlu mengikut rekaan KLCC, Midvalley atau mana-mana pembangunan moden yang begitu banyak di Malaysia ini," katanya.