Beruang matahari yang dikurung diselamatkan

Iklan
Rakaman video beruang matahari yang dikurung sebelum dimuat naik di media sosial. - Foto Sarawak Forestry Corporation
KUCHING - Tidak sampai 24 jam selepas mendapat desakan daripada pelbagai pihak, seekor beruang matahari yang dikatakan dikurung secara zalim di sebuah rumah dekat Demak Laut di sini akhirnya diselamatkan pihak berkuasa.

Spesis yang dilindungi itu dikatakan dipelihara pemiliknya secara berlesen selama tujuh tahun dan kini ia dihantar ke Pusat Perlindungan Haiwan Liar Matang bagi pemeriksaan kesihatan dan pemulihan.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Forestry Corporation Sdn Bhd (SFCSB), Zolkipli Mohamad Aton berkata, operasi menyelamat itu dijalankan pada pukul 2.30 petang tadi di kediaman pemilik haiwan berkenaan selepas menerima maklumat daripada orang awam dan selepas pelbagai imej haiwan itu yang tular di media sosial.

"Walaupun pemiliknya mempunyai lesen yang dikeluarkan Kontroler Hidupan Liar Jabatan Hutan Sarawak untuk memelihara beruang matahari berkenaan namun dia sudah melanggar beberapa terma dan syarat lesen berkenaan.

"Sebab itu kita selamatkan beruang berkenaan,” katanya yang turut memberitahu beruang matahari jantan itu seberat 76 kilogram.

Di Sarawak, beruang matahari atau sama saintifiknya Helarctos malayanus dilindungi di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998, dan sesiapa yang didapati bersalah kerana memburu, memiliki haiwan yang dilindungi itu sama ada masih hidup atau mati atau hanya memiliki sebahagian anggota badannya tanpa lesen boleh didenda sehingga RM10,000 dan setahun penjara.

Kisah beruang matahari yang malang itu ditularkan oleh netizen di Facebook Ahad lepas sebelum disiarkan semula oleh pihak media semalam.

Ini adalah kes kedua melibatkan beruang matahari selepas kes pertama haiwan itu dikurung di sebuah kondominium di Kuala Lumpur dilaporkan Jun lepas.

Mengulas tindakan yang dikenakan terhadap pemilik haiwan, Zolkipli berkata, ia terpulang kepada Jabatan Hutan Sarawak yang telah mengeluarkan lesen berkenaan kerana pihaknya hanya menguruskan operasi. - Bernama