SHAH ALAM - Polis akan melaksanakan siasatan lebih luas terhadap Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy yang didakwa mempunyai hubungan dengan kumpulan pemberontak Sri Lanka, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan terbaharu itu dibuat berdasarkan laporan baharu diterima polis dan keterangan pemimpin DAP itu akan diambil dalam masa terdekat.
Menurutnya, polis akan menyiasat dari pelbagai sudut sekiranya terdapat bukti-bukti baharu yang boleh mengaitkan Ramasamy dengan kumpulan LTTE.
"Sebenarnya aduan berkaitan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu sudah diterima dan disiasat polis pada tahun 2013 di mana kertas siasatan sudah diangkat dan diserahkan kepada Peguam Negara.
"Dalam kes lama pemimpin berkenaan dalam alasan pembelaan diri sewaktu disoal siasat menyatakan beliau menyokong perjuangan kebebasan.
"Selain video menunjukkan kaitan pemimpin itu dengan LTTE, (Ramasamy) turut mempunyai video menyokong pembebasan wilayah Acheh di samping mendakwa menyokong kebebasan puak minoriti Islam di selatan Filipina," katanya pada sidang media di Dewan Karangkraf di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada program Bicara Minda inisiatif Sinar Harian dan Sin Chiew Daily yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar petang tadi.
Abdul Hamid berkata, selain Ramasamy, polis juga akan turut menyiasat sebuah pertubuhan yang didakwa menyokong perjuangan LTTE dengan menggunakan simbol hampir serupa digunakan kumpulan pemberontak Sri Lanka itu pada logo pertubuhan.
"Kita sudah ambil tindakan untuk melihat sama ada pertubuhan itu berdaftar atau tidak dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
"Kita juga menggalakkan orang ramai dan media untuk membantu siasatan polis sekiranya mempunyai maklumat baharu berkenaan dua isu berkenaan," katanya.
Tahun lalu, Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin yang merupakan pengkritik lantang Ramasamy menggesa pihak berkuasa menyiasat kaitan pemimpin DAP itu dengan LTTE, kumpulan yang diklasifikasikan organisasi pengganas oleh lebih 30 negara termasuk Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.
Mohd Asri kemudiannya berkongsi sekeping gambar menunjukkan Ramasamy memberi penghormatan kepada imej satu simbol LTTE dengan berpuluh laporan polis kemudiannya dibuat terhadap beliau.
Ramasamy kemudiannya menjelaskan beliau dilantik menganggotai Jawatankuasa Hal Ehwal Perlembagaan LTTE yang didakwanya bukan sebahagian daripada kumpulan pemberontak itu di sebalik perang saudara selama lebih satu dekad yang memusnahkan Sri Lanka.
Baru-baru ini tular mengenai satu pertubuhan yang didakwa menyokong perjuangan LTTE berdasarkan pemakaian salah satu simbol berkaitan kumpulan pemberontak itu dalam logo pertubuhan berkenaan.