GEORGETOWN - Polis telah merekodkan keterangan 10 individu bagi membantu siasatan kes seorang lelaki mengamuk dan menetak dua rakan sekerjanya sehingga seorang daripadanya maut dalam kejadian di sebuah kilang di Bayan Lepas dekat sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A.A Anbalagan berkata, mereka terdiri daripada ahli keluarga, rakan sekerja suspek serta mangsa, dan saksi yang berada di kilang semasa kejadian.
"Setakat ini kami masih belum dapat mengenal pasti motif sebenar kenapa suspek bertindak sedemikian.
"Siasatan lanjut masih dilakukan dengan mengambil kira semua aspek termasuk dakwaan lelaki itu sudah lama menyimpan dendam terhadap rakan sekerjanya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, pihaknya juga akan menyiasat dari semua sudut sebelum membuat sebarang kesimpulan.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, lelaki berusia 25 tahun dan bekerja di kilang terbabit mengamuk dalam kilang serta menetak penyelia wanita dan pengurus keselamatan menggunakan parang.
Penyelia wanita berusia 47 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang kerana parah di beberapa bahagian badan terutama di kepala manakala lelaki yang juga pengurus keselamatan berusia 53 tahun mengalami kecederaan, tetapi berada dalam keadaan stabil.
Suspek maut ditembak selepas dia cuba menyerang anggota polis dengan parang. - Bernama