Peniaga kek temui ajal dalam kereta

Iklan
Mimi Sunarty (kiri) bersama dua anaknya.

JERANTUT - Seorang peniaga kek dan roti meninggal dunia di dalam sebuah kereta sewaktu sedang menunggu anaknya pulang dari Sekolah Kebangsaan Temin di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa, Mimi Sunarty Ideris, 42, ditemui meninggal dunia di dalam kereta jenis Proton Persona di pekarangan tempat letak kenderaan sekolah berkenaan dengan berpakaian baju putih dan kain hitam serta bertudung merah.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, pada jam 1.10 petang, mangsa dilaporkan mengadu mengalami semput dan sesak nafas ketika berbual bersama abangnya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sekolah tersebut.

Menurutnya, mangsa berada di sekolah itu untuk menjemput anaknya di sekolah berkenaan.

Iklan

"Mangsa meminta bantuan kepada abangnya untuk berjumpa guru dan mengambil anaknya.

"Semasa abang mangsa balik ke pondok pengawal, mangsa telah menghubunginya (abang) melalui telefon dan mengadu tidak larat serta meminta bantuan menghubungi ambulans.

Iklan

"Namun apabila ambulans sampai dan membuat pemeriksaan awal mendapati mangsa telah meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi dan hasil bedah siasat di Unit Forensik Hospital Jerantut mendapati tiada sebarang kesan berunsur jenayah atau khianat.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kejadian disebabkan"pericardial effusion secondary to acute coronary syndrome," katanya.

Sementara itu, rakan baik mangsa, Norshidah Taib, 45, berkata, dia terkejut apabila mengetahui kejadian yang menimpa mangsa.

Menurutnya, dia sempat beramah-mesra ketika menghadiri mesyuarat Amanah Ikhtiar Cawangan Jerantut di sini hari ini.

"Saya bersamanya jam 11.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, namun tiada sebarang petanda dia akan tinggalkan kami selama-lamanya.

"Saya agak terkilan kerana tidak dapat bergambar kenangan dengan Mimi selepas mesyuarat tadi kerana arwah ingin mengambil anaknya, Syakir Anuar Jasli,10 di sekolah," katanya.

Katanya, mangsa meninggalkan dua orang anak dan jenazahnya akan dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Tebing Tinggi di sini.