SHAH ALAM - Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyifatkan tindakan Naib Presiden Bersatu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menempelak pihak yang membantah gesaan perwakilan agar kerajaan memberikan jawatan dan kontrak disifatkan sebagai menjatuhkan martabat bekas penjawat kerajaan.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, sebagai bekas pegawai kanan kerajaan, Abdul Rashid tidak sewajarnya mengeluarkan kata-kata tersebut dan ucapannya langsung tidak mencerminkan imej beliau sebagai bekas penjawat awam yang amat dihormati pada satu ketika dahulu.
"Lebih mengejutkan lagi apabila ucapan itu dilaporkan mendapat tepukan yang paling gemuruh dan ‘standing ovation’ daripada para perwakilan (semasa Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu semalam).
"Jika ini benar, maka MCW mewakili seluruh rakyat Malaysia memohon Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad melakukan sesuatu agar segala unsur negatif yang berasal dari Umno ini perlu dibenteras segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jais berkata, Abdul Rashid yang merupakan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu diingatkan mengenai sebab utama kejatuhan Umno dalam PRU14.
"Umno jatuh berpunca daripada faktor kehilangan kepercayaan rakyat terhadap pimpinan parti atau pemerintah yang mengamalkan pengagihan kekayaan kepada kroni dan penyalahgunaan kuasa dari bawah sehinggalah peringkat teratas parti tersebut.
"Politik wang dan pemberian projek kepada pemimpinnya merupakan kanser yang pasti akan membunuh parti itu,” katanya.
Jais memberitahu, apabila Ketua Bahagian mula dimewahkan dengan harta, jiwa dan semangat mereka untuk membantu rakyat pasti akan pudar kerana mereka akan hanyut dalam kemewahan tersebut.
"Ketua Bahagian memang perlukan duit untuk menggerakkan jentera parti namun mereka perlulah mengikuti segala SOP (prosedur operasi standard) kementerian dan arahan perbendaharaan sebelum mendapat projek kerajaan.
"Janganlah mereka tergopoh-gapah sehingga hendak merompak jabatan kerajaan!,” katanya.
Jais menambah, MCW melahirkan keyakinan yang tinggi kepada Dr Mahathir untuk melakukan sesuatu dengan segera bagi memastikan ucapan seperti yang dilakukan oleh Abdul Rashid tidak diulang lagi.
"Keyakinan rakyat terhadap Tun Dr Mahathir menjadi punca utama kejayaan Bersatu menjadi tunggak utama kerajaan baharu ini.
"MCW sebagai badan bukan kerajaan yang bersifat non partisan dan mesra kerajaan semasa, kami sedia bersama Tun Dr Mahathir sebagai ‘check and balance’,” katanya.
Dalam masa yang sama Jais memuji Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang sebelum itu menyelar perwakilan yang menjadikan isu pemberian kontrak dan jawatan sebagai tajuk perbahasan.
”Atas tindakan Syed Saddiq itu, beliau wajar diberi pujian dan sebagai pemimpin termuda Bersatu, ianya menjadi sedikit penawar kepada rakyat yang mengikuti Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu.
"Bersatu mesti menerajui semangat Malaysia Baharu melalui pendekatan baharu dan bukannya mengikut jejak langkah lama yang telah jelas ditolak oleh rakyat Malaysia.
"Bersatu perlu bergerak kehadapan dengan penerapan nilai murni yang diimbangkan dengan aspirasi anak mudanya yang bertenaga,” katanya lagi.