KALAULAH tidak kerana kisah pilu yang terjadi ke atas Carmen, mungkin ramai orang termasuk saya tidak menyedari ada bahaya sedang mengintai di sekeliling kita.
Gadis berusia 19 tahun itu, satu-satunya anak keluarga Yee, batuk berdarah di dalam kelas di SMJK Heng Ee Georgetown, Pulau Pinang pada 20 Ogos lalu.
Pelajar cemerlang menengah atas yang akan mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan itu telah mengalami batuk lebih kurang dua bulan.
Berikutan kejadian ketika sedang belajar itu, Yee Kok Kee telah membawa anak gadisnya ke sebuah klinik swasta, X-ray dilakukan dan Carmen disahkan menghidap batuk kering.
Lebih malang lagi, hanya beberapa hari selepas itu gadis berkenaan meninggal dunia. Dapat dibayangkan betapa luluhnya perasaan keluarga atas kehilangan satu-satunya anak itu.
Orang sekarang jarang mendengar atau mungkin tidak tahu langsung mengenai batuk kering sebab penyakit itu lebih dikenali dengan tuberculosis atau TB.
Teringat saya zaman kanak-kanak ketika baru-baru negara mencapai kemerdekaan. Penyakit itu adalah wabak yang ditakuti dan disebut hampir setiap hari.
Radio ketika itu yang disebut Radio Malaya berperanan menghebahkan bahaya penyakit itu. Wayang pacak Jabatan Penerangan bercakap dahulu mengenai batuk kering sebelum menayangkan filem sebagai hiburan orang kampung.
Waktu itu, wayang pacak adalah satu-satunya sumber hiburan walaupun yang ditayangkan hanyalah propaganda Filem Negara.
Alangkah seronoknya menonton filem percuma, duduk atau baring di atas padang sekolah sambil mengunyah kacang putih atau menghisap aiskrim potong!
Orang kampung menyebutnya batuk kering tetapi cikgu sekolah mula menyebutnya TB menimbulkan kekeliruan sebab dalam waktu sama orang mengaitkannya dengan TV, satu benda baharu ketika itu.
Waktu itu kampung saya belum ada bekalan elektrik, jauh sekali TV. Tetapi murid sekolah telah diajarkan apa itu televisyen @ TV.
Cikgu memberitahu:"TV itu betul-betul macam wayang pacak tengah padang. Cuma TV boleh main dalam rumah, lagi banyak cerita koboi dan cerita perang.”
Bagi sebahagian besar orang kampung saya, TB dan TV sama sahaja. Bagi mereka yang ditakuti ialah batuk kering bukan TB atau TV atau tibi.
Program mencegah TB kita amat berjaya. Salah satu faktor penyelamat adalah mewajibkan suntikan bacille Calmette-Guerin (BCG) di peringkat bayi.
Pada 1970 hingga awal 1990-an, negara boleh dikatakan bebas TB. Apa yang pada awal kemerdekaan dianggap wabak berbahaya dan amat ditakuti, dua dekad kemudian semuanya dianggap selamat dan dilupakan.
Negara membangun pesat selepas merdeka. Kampung saya di Hulu Muar, Johor terang benderang dengan lampu elektrik macam Kuala Lumpur.
Orang asyik berTV-TV sepanjang 24 jam dengan sekian banyak saluran (channel) dari seluruh dunia sehingga melupakan dan tidak mengendahkan langsung TB.
Hari ini, setelah 62 tahun merdeka, kita diingatkan semula dengan TB pembawa maut itu. Diam-diam mangsa serangan penyakit tersebut meningkat di tempat kita.
Mengikut perangkaan Kementerian Kesihatan, seperti yang dinyatakan oleh mantan menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam, kes TB di negara ini meningkat lapan peratus kepada 26,168 pada 2017 berbanding 24,220 pada 2015.
Kewujudan semula penyakit itu dikaitkan dengan kedatangan pendatang asing dan orang kita yang melawat ke luar negara. Kerajaan menyedari serangan baharu itu dan berusaha membanterasnya ke arah bebas TB pada 2035.
Walaupun TB boleh dirawat, kesannya terhadap kesihatan global masih mengancam. Perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyebut hampir 10 juta kes terbaru penyakit itu direkodkan pada 2017, menyebabkan 1.3 juta kematian.
TB boleh dicegah dan dirawat sekiranya berjaya dikesan sejak awal. Suntikan BCG semasa kelahiran boleh membantu tetapi jangan ambil mudah.
Pendatang asing termasuk pembantu rumah yang tidak berBCG mungkin membawa TB ke tempat kita. Campuran dengan mereka yang berTB boleh menyebabkan jangkitan.
Sekiranya mana-mana ahli keluarga atau kita sendiri selalu demam, hilang selera makan dan batuk berpanjangan selama dua bulan disusuli batuk berdarah, itu adalah tanda TB.
Segeralah dapatkan rawatan doktor, mudah-mudahan nasib Carmen tidak berulang.