Tun M nyatakan kelemahan PBB pada forum pemimpin

Iklan
Tun Dr Mahathir Mohamad. FOTO: BERNAMA

NEW YORK - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata berdasarkan pemerhatiannya, negara-negara berkuasa dan kecil sama-sama tidak menghormati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Masalahnya adalah kita tidak menghormati PBB. Negara-negara besar, berkuasa hanya mengabaikan PBB dan resolusi yang dibuat,” kata Perdana Menteri Malaysia itu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, apabila negara-negara besar mengabaikan resolusi yang dibuat PBB, negara kecil juga akan mengikutinya dan kini negara kecil seperti Myanmar tidak menghormati badan dunia itu.

"Dan, kerana kita tidak berdaya untuk melakukan apa-apa, apa yang kita lihat sekarang adalah resolusi dibuat oleh PBB nampaknya tidak mempengaruhi pemikiran atau dasar mana-mana negara,” katanya.

Iklan

Dr Mahathir yang berada di bandar raya ini bagi menghadiri Perhimpunan Agung PBB (UNGA) Sesi ke-74 berkata demikian apabila menjawab soalan hadirin pada Forum Pemimpin Dunia di Columbia University di sini semalam.

Mengenai krisis Rohingya, Dr Mahathir berkata, terdapat kelemahan jelas pada pihak PBB apabila ia menyaksikan satu kerajaan bertindak kejam terhadap rakyatnya, tiada apa yang boleh dilakukan.

Iklan

"Kita boleh berkhutbah, berdoa, meminta mereka jangan lakukan sedemikian tetapi mereka terus melakukannya kerana kita tidak menyerang negara terbabit untuk menghapuskan rejim sedemikian,” katanya.

Beliau juga menyatakan kekecewaan terhadap Aung San Suu Kyi yang dulu dianggap ikon demokrasi kerana tidak menyokong rakyatnya yang sengsara di Myanmar.

Dr Mahathir berkata, apabila Aung San Suu Kyi dikurung di rumahnya, Malaysia bersimpati dengannya dan berkempen supaya beliau dibebaskan.

"Tetapi kini, kami dapati beliau tidak mempertahankan rakyat lain yang tertekan,” katanya dan menambah bahawa amat menyedihkan apabila dunia tidak berada dalam kedudukan untuk membantu penduduknya walaupun sering bercakap tentang hak asasi manusia dan sebagainya.

Mengenai China, Dr Mahathir berkata, Malaysia mahu kekal bersahabat dengan negara berkuasa besar itu.

"Mereka mendakwa bahawa keseluruhan Laut China Selatan adalah milik mereka, itu dakwaan mereka. Selagi mereka membenarkan kapal melalui (laluan air), ia okey,” katanya.

"Kami juga mendakwa bahawa Australia milik kami tetapi Australia tidak peduli kerana ia tidak akan berlaku,” katanya.

Perdana Menteri berkata, hakikatnya adalah Laut China Selatan dan Selat Melaka penting untuk aktiviti perdagangan Timur-Barat dan China sendiri akan terjejas sekiranya laluan air itu ditutup. - Bernama