GERIK - Seorang anggota polis berpangkat koperal maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat kemalangan di KM50.3 Jalan Gerik- Kuala Kangsar berhampiran Padang Grus di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 malam itu, mangsa, Mohd Rafizu Che Hasil, 33, yang bertugas di Balai Polis Selat Pagar di sini meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dipercayai digilis sebuah lori yang tidak dikenal pasti.
Ketua Polis Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dalam perjalanan menuju ke balai berkenaan untuk bertugas.
"Siasatan awal di tempat kejadian dipercayai mangsa telah terlanggar binatang dipercayai seekor babi yang melintas jalan secara tiba-tiba.
"Akibat perlanggaran itu, motosikal mangsa telah hilang kawalan dan mangsa tercampak ke atas jalan. Bagaimanapun, sebuah lori telah terlanggar dan menggilis mangsa,” katanya.
Menurutnya, pemandu lori terbabit tidak berhenti sebaliknya melarikan diri meninggalkan tempat kejadian dan gagal dikesan.
"Mayat mangsa dibawa ke unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat yang dijalankan pagi ini.
"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.