KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan bahawa perbezaan antara kaum perlu dirai dan bukan dijadikan faktor yang menjarakkan jurang antara rakyat negara ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, perbezaan itulah yang menjadikan Malaysia ini unik, lebih indah dan berwarna-warni.
"Sebenarnya banyak ruang persamaan dan kerjasama yang boleh kita fikir dan laksana daripada hanya disibukkan dengan perbezaan antara kita," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Krismas dan Tahun Baharu Parlimen Pandan di sini, malam ini.
Ini, katanya, sepertimana majlis malam ini yang dihadiri pelbagai kaum dan agama, merupakan manifestasi suasana harmoni yang perlu terus dipelihara, dihargai dan dihayati oleh semua generasi bangsa Malaysia.
"Walaupun kita berbeza budaya, adat, kepercayaan, agama, pandangan dan pelbagai lagi, namun ia tidak seharusnya menjarakkan jurang antara kita," katanya.
Sempena tahun baharu ini, Dr Wan Azizah menggesa rakyat agar memulakan azam baharu, bermuhasabah dengan mengubah diri, keluarga, masyarakat dan seterusnya negara untuk menjadi lebih baik, berdaya saing, ke hadapan dan lebih berjaya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menyuarakan kebimbangan dengan pesta golongan remaja yang sering dikaitkan dengan sambutan tahun baharu sehingga ada yang terlanjur sehingga melahirkan bayi.
"Sembilan bulan dari sekarang, akan mulalah terpampang di akhbar-akhbar tentang kejadian remaja membuang bayi yang semakin meningkat kerana aktiviti-aktiviti yang tidak sihat pada sambutan perayaan seperti tahun baharu dan sebagainya.
"Anak-anak remajaku sekalian, marilah kita hapuskan perbuatan-perbuatan sedemikian. Jika sudah terlanjur, janganlah pula terus menambah kesilapan kerana setiap masalah ada jalan penyelesaiannya," katanya.
Beliau merayu para remaja yang memerlukan pertolongan dalam kes sedemikian supaya menghubungi talian Kasih di 15999, berjumpa dan berbincang dengan kaunselor atau pergi ke rumah-rumah perlindungan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atau menghantar bayi tersebut ke pusat-pusat"baby-hatch” dan yang seumpamanya.
"Walaupun seruan saya ini pernah dipandang sinis dan dikecam oleh sesetengah pihak sebagai menggalakkan anak-anak muda melakukan dosa, mereka perlu sedar bahawa gerakan membendung dan merawat hendaklah seiring," katanya.
Sementara itu, Dr Wan Azizah turut mengingatkan bahawa pewartaan tempat makan sebagai tempat larangan merokok akan bermula sebaik hari esok bermula, dan menyifatkannya suatu permulaan positif bagi tahun baharu.
Katanya, pelaksanaan ini penting demi melindungi kesihatan masyarakat khususnya wanita dan kanak-kanak dan membantu dalam mencegah bayi daripada dilahirkan dalam keadaan pra-matang dan menghidap asma, selain membantu perokok untuk melindungi kesihatan sendiri.
"Marilah kita bersedia untuk cabaran-cabaran yang bakal dihadapi pada Tahun 2019. Mudah-mudahan kita dapat menyelesaikan banyak perkara khususnya kemelut ekonomi Malaysia,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr Wan Azizah turut sekali lagi melahirkan keyakinan bahawa Malaysia mampu kembali mengaum sebagai Harimau Asia di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan yang dipimpin Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kabinet.
"Kita juga sedang berusaha meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) ke negara kita. In sya Allah usaha-usaha untuk merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara akan terus dilaksanakan.
"Ini bukanlah mudah kerana cabaran global yang lebih kompetitif, tapi berilah peluang dan kepercayaan kepada kami. In sya Allah kita mampu lakukannya bersama," katanya. - Bernama