KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga masih trauma selepas nyaris dihempap batang pokok Rhu dalam kejadian ribut yang melanda Taman Awam Lagun, Kuala Ibai, di sini kelmarin.
Peniaga Kerabu Maggie Ala Thai, Mazuari Bakar, 38 berkata, kejadian berlaku jam 4.10 petang itu telah memusnahkan gerai jualan dan kereta Proton Saga yang digunakan untuk berniaga sejak tujuh tahun lalu.
"Waktu angin tengah kuat dalam hujan lebat tu saya dah bersiap-siap nak ke kereta untuk pindah ke kawasan lebih selamat.
"Tiba-tiba datang seorang budak lelaki beritahu nak tumpang berlindung dibawah kanopi saya. Saya suruh dia pergi ke tempat lebih selamat, tapi dia berdegil.
"Dua tiga langkah nak ke kanopi, saya dengar bunyi kayu patah. Tiba-tiba batang pokok Rhu sebesar sepeluk kanak-kanak hempap kereta dan gerai saya," katanya.
Bapa kepada tiga anak ini berkata, dia masih trauma dan pernah terlintas untuk berhenti berniaga.
Bagaimapaun, katanya, dia terpaksa cekalkan hati demi mencari sesuap nasi untuk menampung anak dan isteri.
"Kejadian pertama berlaku lewat petang pada 14 September lalu. Waktu tu kami empat beranak duduk bawah kanopi, nasib baik sempat keluar sebelum ditimpa batang pokok itu," katanya.
Mazuari menganggarkan kerugian dialami sekitar RM3,000 lebih membabitkan kereta Proton Saga, gerai dan barangan jualan.
Dalam pada itu, Mazuari berkata, dia berharap insiden itu dapat membuka mata pihak berkaitan untuk memantau secara lebih kerap di kawasan itu.
"Taman Awam Lagun ni memang ramai pengunjung termasuk orang luar lebih-lebih lagi bila tiba hujung minggu.
"Saya bimbang insiden buruk berlaku melibatkan kemalangan jiwa," katanya yang berasal dari Kampung Gong Tok Nasek, di sini.
Sementara itu, isterinya, Rohani Ismail, 29, berkata, dia tidak menyangka perasaan berbelah bahagi intuk menemani suaminya keluar berniaga menjadi petanda kejadian itu.
"Biasanya saya akan teman suami berniaga jika gerai dibuka awal.
"Masa hari kejadian, saya ambil keputusan untuk tidak turut serta kerana gerai dibuka agak lewat tambahan pula saya berasa agak berat hati untuk ke situ," katanya.