Kesukeb, MCCF bantu ringankan beban Mardiana

Iklan
Mardiana (tiga,kanan) disamping suaminya yang lumpuh sejak enam bulan lalu.
SUNGAI BULOH -"Saya bersyukur dengan bantuan yang diterima dapat mengurangkan beban keluarga selepas suami lumpuh enam bulan lalu”.

Demikian kata seorang isteri, Mardiana Mahari, 38, seorang pembantu tadbir yang terpaksa memikul tugas ketua keluarga selepas suaminya, Ahmad Tajuddin Tan, 41, hanya mampu terbaring di atas katil.

Mardiana yang mempunyai enam orang anak berusia antara lapan tahun dan lima bulan berkata, semenjak suaminya lumpuh, dia terpaksa mengambil cuti untuk menguruskan keluarga.

"Sekarang ini saya cuti dan hanya dibayar separuh gaji. Bulan depan saya cuti tanpa gaji.

"Bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami sekeluarga. Anak-anak pun masih kecil,” katanya selepas menerima bantuan daripada Kelab Sukan dan Kebajikan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Sungai Buloh (Kesukeb).

Penasihat Kesukeb, Mizhar Mazlan berkata, sumbangan yang diberikan adalah berbentuk wang tunai hasil daripada kutipan Paramedic Charity Trail Run 2018 yang dianjurkan Kesukeb, September lalu dan bantuan barangan dapur.

"Kami berharap bantuan ini dapat meringankan beban yang ditanggung Mardiana sekeluarga,” katanya.

Hadir sama dalam majlis memberikan bantuan itu adalah rakan kerjasama Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) diketuai Pengerusinya, Halim Ishak dan Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman.

Dalam pada itu, Halim berkata, orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga berkenaan boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun Maybank milik Mardiana bernombor 114106001377.

"MCCF berterima kasih kepada Kesukeb yang menjemput MCCF untuk turut serta dalam program amal seperti ini,” katanya.